top of page

JAS nafi terima laporan EMP projek PSR


JAS belum menerima EMP yang mengikut turutan asal selaras dengan konsep projek. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini menafikan telah menerima Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) agar dapat dilaksanakan.


Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata pihaknya sehingga kini masih belum menerima EMP yang mengikut turutan asal selaras dengan konsep projek.


Menurutnya, SRS Consortium (rakan kongsi Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd (PIC)) pernah mengemukakan laporan EMP kepada JAS Negeri Pulau Pinang namun tidak mengikut turutan asal penambakan seperti dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang telah diluluskan pada 25 Jun 2019.


"Adalah tidak wajar pemaju merujuk kepada laporan EMP yang pernah dikemukakan yang boleh mengelirukan orang ramai. Oleh yang demikian, pemaju perlu mengemukakan laporan EMP yang baharu mengikut turutan asal penambakan yang akan dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Kenyataan dari Norlin itu, sebagai mengulas laporan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris bertajuk 'Project to create 15,000 jobs' Isnin lepas yang mendakwa Pulau Pinang hanya menunggu kelulusan JAS untuk melakukan kerja-kerja penambakan.


Laporan berkenaan memetik Ketua Pegawai Eksekutif PIC Datuk Seri Farizan Darus sebagai berkata pihaknya kini sedang menunggu JAS memberi 'lampu hijau' kepada EMP yang dijangka akan dikeluarkan pada hujung bulan ini sebelum pihaknya dapat melaksanakan projek berkenaan sesuai dengan garis panduan diluluskan.


Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.


Projek itu dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

-- BERNAMA

Sumber: Astro Awani

18 views

Comments


bottom of page