top of page

JAS mohon ulasan awam EIA projek lombong besi di Kelantan



PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memohon ulasan orang awam bagi Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) untuk sebuah projek perlombongan bijih besi baharu di Kelantan melibatkan tanah berkeluasan 210 hektar di Mukim Sokor, Daerah Ulu Kusial, Jajahan Tanah Merah.


JAS dalam kenyataan memaklumkan, projek ini akan ada impak positif dan negatif terhadap alam, namun langkah mitigasi telah dikenal pasti serta diperincikan secara teliti dalam laporan EIA itu.


Ini merupakan hebahan EIA kedua di lokasi sama iaitu Hutan Simpanan Kekal Sokor Taku selepas projek perlombongan emas dimajukan syarikat Jayamas Sdn. Bhd. pada April lalu.


Bezanya, projek terdahulu itu membabitkan empat lot kawasan perlombongan yang keluasan 547 hektar dengan jangkaan perolehan rizab galian dianggarkan seberat 121,783 gram.


Mengulas lanjut, JAS bagaimanapun menjelaskan bahawa projek terbaharu ini dimajukan oleh pemegang pajakan lombong, Sungai Hijau Sdn. Bhd. yang melantik Jana Gold Sdn. Bhd., cuma melibatkan satu lot dengan anggaran perolehan rizab sebanyak 4,795,875 tan, manakala kadar operasi ialah 45,000 meter padu dan jangka hayat 20 tahun.


“Lokasi tapak pembangunan adalah strategik dan jauh daripada kawasan perumahan serta tidak menimbulkan masalah serius jika amalan pengurusan dilakukan dengan baik,” katanya menerusi Facebook rasmi agensi itu.


Berdasarkan kedudukan projek, ujar JAS, usaha perlombongan bijih besi adalah berdaya maju dari segi logistik dan ekonomi serta bakal menjana banyak pekerjaan secara tidak langsung.


Konsep perlombongan bijih secara ‘open pit’ pula mampu menghasilkan bahan mineral dalam kuantiti banyak dengan pengekstrakan berperingkat dan dianggap selamat serta mesra alam.


Langkah yang diguna pakai tersebut juga tambahnya, untuk meminimumkan kawasan terbuka lombong itu pada satu-satu masa daripada risiko terdedah kepada ancaman hakisan tanah.


Ringkasan eksekutif dan laporan EIA projek ini boleh diperoleh daripada Perpustakaan JAS di ibu pejabatnya di Wisma Sumber Asli, Presint 4 di sini bermula kelmarin sehingga 16 Ogos ini dan turut disediakan JAS Negeri Kelantan di Kota Bharu selain Majlis Daerah Tanah Merah manakala ulasan bertulis perlu diserahkan selewat-lewatnya pada 1 September depan.


Menurut JAS lagi, operator projek lombong itu yang berpusat di Kota Bharu, Kelantan juga boleh dihubungi menerusi talian 09-7470875 dengan individu ditugaskan ialah Kim Chum Seng, manakala Jururunding EIA pula Nilaimas Services di Seri Kembangan, Selangor boleh dihubungi melalui talian 03-89409959 dengan individu ditugaskan ialah Datuk Seri Nawahidudin Mahamad Isa.


Sumber: Utusan

5 views
bottom of page