
SEREMBAN: Semua jabatan kerajaan di Negeri Sembilan diminta tidak melewatkan sebarang pembayaran tanpa sebab kepada kontraktor yang diberi atau melaksanakan projek pembangunan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya sudah meminta setiap jabatan yang berkaitan supaya menyegerakan pembayaran kepada kontraktor sebaik kerja yang dilaksanakan selesai dan mematuhi spesifikasi ditetapkan.
"Kerajaan negeri sedar berkenaan peri pentingnya pembayaran oleh jabatan kerajaan dilakukan dengan segera agar aliran wang tunai kontraktor terbabit tidak terjejas.
"Tambahan pula terdapat kalangan kontraktor Bumiputera yang kembali bernafas semula selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Sekiranya ada jabatan yang melewatkan pembayaran tanpa sebab, sila maklumkan kepada saya untuk diambil tindakan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Bumiputra Kelas G1 Negeri Sembilan (PERKOBF NS) di sini, petang semalam.
Yang turut hadir, Yang Dipertua PERKOBF Negeri Sembilan, Sazali Mohamed Yasin.
Aminuddin berkata, pihaknya sentiasa memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera kelas G1 untuk lebih maju ke hadapan.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, kontraktor diberi peluang menyertai cabutan undian projek di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
"Di samping melonjakkan ekonomi negeri, inisiatif itu dapat memberikan sesuatu projek itu secara adil sekali gus dapat mengelakkan monopoli projek kelas G1 oleh pihak tertentu," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan projek kerajaan yang bermatlamat untuk kepentingan rakyat, dapat melaksanakan projek berkenaan dengan mengutamakan kualiti serta mengikut spesifikasi ditetapkan.
Sumber: Berita Harian