top of page

'Jangan gantung perhiasan perayaan di kabel TNB'



KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna tidak memasang atau menggantung perhiasan perayaan Tahun Baharu Cina di kabel dan pepasangannya bagi mengelak risiko renjatan elektrik.


Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman, berkata perbuatan menggantung bahan perhiasan boleh mengundang bahaya kerana individu yang terbabit berisiko terkena renjatan elektrik.


“Ia juga mungkin menyebabkan gangguan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku. Aktiviti berbahaya ini turut menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu mengganggu pepasangan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, TNB akan membuat pemantauan, selain menjalankan operasi menanggalkan bahan hiasan yang diletakkan di pepasangan elektrik jika didapati memberi risiko tinggi kepada orang awam.


“Orang ramai yang melihat sebarang keadaan boleh mengancam keselamatan dan menjejaskan bekalan elektrik, diminta merujuk Facebook TNB Careline atau terus menghubungi TNB Careline di talian 15454 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.


Beliau juga turut mengingatkan orang ramai tidak bermain mercun serta bunga api berhampiran pepasangan TNB, membebankan soket dengan penggunaan wayar penyambung secara berlebihan atau membuat penyambungan sendiri tanpa mendapatkan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST). – BERNAMA



6 views
bottom of page