top of page

Jangan anak tiri jalan di Hulu Langat - Sany


Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan
Sany meninjau keadaan jalan di Hulu Langat seperti dikongsikan di Facebooknya baru-baru ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan

HULU LANGAT - Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi perhatian terhadap aspek penyelenggaraan jalan di daerah tersebut.


Mohd Sany berkata, keadaan jalan terutama berhampiran kuari di Sungai Long sampai ke Batu 9 dalam keadaan tidak begitu baik dan banyak kali aduan telah dibuat mengenainya.


Beliau berkata, pihaknya berharap JKR dapat menempatkan pegawai yang ditugaskan untuk turun ke kawasan bagi membuat pemantauan sekurang-kurangnya seminggu sekali dan bukan hanya menunggu aduan masuk.


"Jalan di Hulu Langat seolah-olah di anak tirikan, kita juga bayar cukai jalan tetapi kenapa jalan raya di sini teruk dan berlubang sana-sini.


"Ada jalan tidak rata, berombak dan ini semua membahayakan keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal," katanya kepada Sinar Harian.


Beliau yang dalam keadaan bertongkat telah mengadakan perjumpaan bersama jurutera jalan JKR berkaitan isu jalan di Hulu Langat seperti dikongsikan di Facebooknya baru-baru ini.


Turut hadir dalam sesi turun padang itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof dan Ketua Kampung Melaka, Ahmad Musran Tahir.


Mohd Sany berkata, walaupun terdapat kerja naik taraf jalan di kawasan itu namun jalan alternatif yang digunakan oleh pengguna juga perlu dijaga dengan baik dan bukan hanya ditampal ala kadar.


Pada perkembangan sama beliau berkata, pihaknya juga akan bertemu dengan pemilik kuari di kawasan itu untuk membincangkan isu penyelenggaraan jalan tersebut.


"Kuari tersebut berlesen, telah beroperasi lama dan mengaut keuntungan cecah jutaan ringgit.


"Saya akan minta mereka turut sama bantu turap memandangkan mereka juga guna jalan sama," ujarnya.


Sumber: Sinar Harian


4 views
bottom of page