top of page

Jambatan terhakis akibat banjir ditutup, lebih 10,000 penduduk guna laluan alternatif


Jambatan terhakis akibat banjir ditutup, lebih 10,000 penduduk guna laluan alternatif Berita Harian www.bharian.com.my
Keadaan hakisan tanah pada struktur bawah jambatan yang boleh membahayakan orang ramai, menyebabkan JKR menutup jambatan itu. - NSTP/Rosli Ilham

KEMAMAN: Jambatan utama yang menjadi laluan hampir 10,000 penduduk di Bandar Seri Bandi terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas sejak Ahad lalu, berikutan struktur utama di bawah jambatan itu terhakis akibat bencana banjir.


Penutupan itu dibuat atas arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah selepas kesan hakisan itu dibimbangi boleh menyebabkan jambatan itu runtuh pada bila-bila masa, sekali gus membahayakan nyawa orang ramai.


Penduduk, Fatimah Ishak, berkata jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu adalah laluan utama penduduk untuk ke Kampung Payoh, Kemasek dan Kijal serta laluan penduduk yang bekerja di kilang pemprosesan kelapa sawit terdekat.


"Hakisan teruk boleh dilihat pada bahagian sambungan antara jalan dan jambatan sehingga berlaku runtuhan pada bahagian konkrit, menyebabkan jambatan itu hanya bergantung pada empat batang besi cerucuk saja sekarang.


"Sebagai langkah keselamatan, JKR terpaksa menutup jambatan itu kepada semua kenderaan dan penduduk kini terpaksa menggunakan laluan alternatif," katanya.


Fatimah berkata, jalan alternatif digunakan penduduk mengambil masa selama satu jam berbanding sebelum ini hanya sekitar 10 hingga 15 minit untuk ke kampung berhampiran.


"Bagaimanapun, ada juga mereka yang berani mengambil risiko termasuk kenderaan berat melalui jambatan itu biarpun mereka sedar bahaya menanti.


"Kita bimbang struktur tanah di bawah tiang jambatan itu akan runtuh pada bila-bila masa yang boleh mengakibatkan kemalangan jiwa," katanya.


Zaharah Mohd Taib pula berkata, pihak JKR mengadakan lawatan bagi menyiasat keadaan jambatan terbabit sebelum ini.


"Saya dimaklumkan pihak JKR mengadakan lawatan di situ dan kita berharap kerosakan itu segera dibaiki," katanya.


Sementara itu, usaha BH mendapatkan maklumat lanjut berhubung status jambatan itu daripada pihak berkuasa termasuk JKR gagal mendapat maklum balas setakat ini.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page