Jalan Kundasang-Ranau dibuka semula



LALUAN di kedua-dua arah di Jalan Kundasang-Ranau menghubungkan Kota Kinabalu dan Sandakan di Kilometer 96.7 berhampiran Kampung Pinausok di Ranau, dibuka semula 8 pagi hari ini.


Ia dibuka kepada pengguna jalan raya menerusi ‘flag-off’ yang dilepaskan oleh Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman yang turut disertai sejumlah pekerja JKR dan syarikat konsesi.


Penolong Jurutera JKR Daerah Ranau, Terry Ladas berkata, selain kerjasama daripada Syarikat Lintasan Resources Sdn Bhd, kerjasama memantau keselamatan pengguna dan kerja pembersihan turut dijalankan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Sepanjang kerja pembersihan, JKR memasang papan tanda amaran di lokasi dan mendapat kerjasama daripada semua pengguna yang bersabar menggunakan jalan alternatif sementara menunggu kerja pembersihan selesai.


“Operasi pembersihan berjalan lancar dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya dihubungi, hari ini.


Menurutnya, pihak kontraktor giat melakukan kerja fasa akhir iaitu menurap permukaan jalan sehingga lewat pagi hari ini.


“Awal pagi tadi, ia siap sepenuhnya namun beberapa buah jentera masih disediakan di lokasi sebagai langkah persediaan jika berlaku susulan runtuhan.


“Hanya pemasangan papan tanda atau amaran dan pembersihan tapak sahaja lagi yang dilakukan ketika ini,” katanya.


Pada 8 Disember lalu berlaku tanah runtuh membabitkan cerun serta tebing bukit setinggi 30 meter, kira-kira 7.30 malam berikutan hujan lebat selama empat jam.


Susulan itu, pihak berkuasa memaklumkan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif di Jalan Semuruh, Jalan Kibbas (Kamoung Dumpiring), Jalan Pinausok Kundasang atau Jalan Kiulu- Rondogung Ranau bagi yang bergerak ke Kota Kinabalu dan Ranau.


Selain itu, jalan alternatif atau laluan utama yang lain adalah Jalan Ranau-Tambunan-Kota Kinabalu (Jalan Gunung Emas) dan Jalan Ranau-Kota Marudu (Jalan Marak-Parak).


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Sabah

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.