top of page

Jalan Kiulu-Tamparuli terputus



TUARAN: Ratusan pengguna jalan raya terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas Jalan Kiulu - Tamparuli berhampiran Bayaon, Kampung Rangalau Baru, Kiulu, di sini, terputus akibat tanah runtuh, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, semua pemandu dan penunggang motosikal terpaksa berpatah balik selepas laluan menghubungkan kampung ini dengan daerah Tamparuli terputus.


Penduduk kampung berhampiran, Frenando Bukana, 16, berkata mereka sekeluarga menyedari kejadian itu sebaik terdengar tiga kali bunyi runtuhan.


“Ketika itu, saya dan keluarga sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi dentuman runtuhan.


“Pada mulanya, saya sangkakan hanya pokok tumbang kerana ia biasa berlaku setiap kali musim hujan, namun sangkaan itu ternyata meleset apabila diberitahu jalan raya sepanjang 20 meter runtuh,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Frenando berkata, mereka sekeluarga terkejut selepas meninjau lokasi berkenaan pada jam 5 pagi tadi.


Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga tiba di lokasi seawal jam 7 pagi untuk meletakkan kon dan papan tanda amaran menutup kedua-dua arah laluan.


Tinjauan di lokasi juga mendapati runtuhan kawasan tebing di jalan raya setinggi 30 meter itu bagaimanapun masih boleh dilalui pengguna motosikal.


Beberapa orang awam juga dilihat membantu bergotong-royong mencantas belukar di tepi jalan bagi memudahkan laluan penunggang motosikal.



Comments


bottom of page