top of page

Jalan baharu Sedenak-Murni Jaya



KERAJAAN negeri akan membina jajaran jalan baharu Sedenak-Murni Jaya bagi merancakkan ekonomi kawasan Kulai Utara dan sempadannya, Kluang.


Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, jalan sepanjang 6.5 kilometer itu akan memendekkan perjalanan penduduk Kulai Utara ke bandar Kulai dan Bandaraya Johor Bahru.


Katanya, sebelum ini penduduk kawasan Kulai Utara terpaksa menggunakan jalan lebih jauh melalui Bukit Batu dan Ayer Manis untuk keluar dari kawasan berkenaan.


“Projek pembinaan ini akan dimulakan dengan proses pengambilan tanah ladang kelapa sawit milik Johor Corporation (JCorp) bagi membina jajaran baharu Jalan Sedenak-Murni Jaya, dalam masa terdekat.


“Keseluruhan projek pembinaan jajaran baharu ini bernilai RM20 juta akan dibangunkan secara bersama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya pada sidang media di Surau Al Ansar,Taman Pancasila di Kulai, hari ini.


Terdahulu Dr Sahruddin melakukan lawatan rasmi ke daerah ini termasuk mendengar taklimat pembangunan daerah di Pejabat Daerah Kulai.


Hadir sama EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi dan Pegawai Daerah Kulai, Mohd Khir Johari Salleh.


Sementara itu, Mohd Khir berkata, proses pembinaan jajaran baharu Sedenak-Murni Jaya itu sudah dimulakan dengan kerja melukis jajaran jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).


“Proses pengambilalihan membabitkan kos RM7 juta dengan prosesnya sudah bermula dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.


“Projek pembinaan jajaran baharu ini akan memberi kemudahan buat lebih 1,000 penduduk kawasan Kulai Utara khususnya kawasan Murni Jaya selain membangunkan kawasan berkenaan yang dikelilingi ladang kelapa sawit, ” katanya.


Sumber: Harian Metro


14 views
bottom of page