top of page

Jalan baharu bakal rancakkan pembangunan Lipis, Jerantut


Jalan baharu bakal rancakkan pembangunan Lipis, Jerantut
Jalan baharu bakal rancakkan pembangunan Lipis, Jerantut

Jalan baharu bakal rancakkan pembangunan Lipis, Jerantut

LIPIS: Jalan baharu sedang dalam pembinaan dari Kampung Gemunchor, di sini, ke Kampung Labu, Jerantut, bakal merancakkan pembangunan dua daerah itu, terutama kampung tradisional yang terletak di laluan terbabit.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata projek pembinaan jalan baharu sepanjang 17 kilometer (km) membabitkan peruntukan RM160 juta itu bermula awal tahun lalu dan telah siap 60 peratus, setakat ini.


Selain dapat membantu pengembangan ekonomi masyarakat setempat, beliau berkata, laluan terbabit juga akan meningkatkan bilangan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.


"Pengunjung yang datang dari arah bandar Kuala Lipis boleh memendekkan masa kira-kira sejam serta jarak 80km untuk perjalanan, berbanding sekarang yang mengambil masa kira-kira dua jam dan jarak 150km.


"Pembinaan jalan itu di pesisir Sungai Jelai, Lipis, dan Sungai Tembeling, Jerantut, turut menjadi jalan rentas pelancong dari Cameron Highlands, Lipis dan kawasan Pahang Barat untuk ke Taman Negara Kuala Tahan serta Ulu Tembeling, Jerantut, dan sebaliknya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Ramah Mesra Parlimen Lipis, di sini, hari ini.


Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, projek terbabit sebenarnya dijangka siap akhir tahun lalu tetapi berlaku kelewatan berikutan masalah teknikal seperti pengambilan tanah penduduk dan pihak kontraktor mengalami kekurangan pekerja.


"Kita sudah berbincang dengan kontraktor terbabit dan kerja pembinaan giat diteruskan.


Projek itu turut membabitkan pembinaan sebuah jambatan konkrit menyeberangi Sungai Tembeling di Kampung Labu, Tembeling Tengah, yang dijangka siap akhir tahun ini," katanya.


Sumber: Berita Harian





Commentaires


bottom of page