top of page

Jajaran Rel Selangor sepanjang 211km, libat perkhidmatan penumpang, kargo


Terowong Gombak sepanjang 959 meter dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Kampung Batu 12, Gombak pada 29 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

SHAH ALAM, 22 NOV: Jajaran Rel Selangor sepanjang 211 kilometer bermula dari Sabak Bernam hingga ke Negeri Sembilan merentasi Sepang akan melibatkan perkhidmatan penumpang dan kargo.


EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bertanggungjawab mengenal pasti laluan kargo yang bermula dari Negeri Sembilan hingga Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Klang.


“Cadangan akan dimasukkan dalam kajian bagi menyokong sektor perindustrian di Selangor selain meningkatkan kesalinghubungan pelabuhan darat untuk menyokong penggunaan domestik dan perdagangan asing dalam jangka masa panjang.


“Inisiatif ini juga sebagai langkah menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik kepada masyarakat dengan lebih menyeluruh. Kajian sedang berjalan untuk pastikan pembangunan projek ini berdaya maju.


“Dengan perkhidmatan rel kargo yang lebih cekap, ia membantu perkembangan sektor logistik, seterusnya menyokong usaha Persekutuan untuk memindahkan sistem kargo daripada jalanraya kepada sistem rel,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.


Bercakap ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2025, beliau berkata kajian berhubung jajaran rel meliputi semua aspek termasuk kos pembinaan, operasi, selenggara dan proses pengambilan tanah dijangka selesai Januari ini.


“Kajian juga melihat aspek pemerkasaan dan ketersambungan sistem kargo yang kini dipelopori oleh pihak KTMB, selain perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada 2027,” katanya.


Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan kajian kebolehlaksanaan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri melalui peruntukan RM3 juta.


Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat itu membabitkan dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam, serta meneroka potensi jajaran sedia ada iaitu dari Kuang ke Kuala Selangor.


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page