top of page

'Jadikan SOP budaya baharu industri pembinaan'


Pekerja pembinaan perlu menjalani saringan sebagai antara SOP industri pembinaan - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan perlu menjadikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai satu budaya untuk menghadapi normal baharu yang disebabkan penularan pandemik COVID-19.


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara itu bukanlah satu keadaan terpaksa, namun perlu diadaptasi untuk berdepan dengan situasi semasa.


"Apa yang lebih penting sebenarnya bukan pemantauan dan penguatkuasaan, tetapi apa yang patut kita galakkan sekarang ini adalah menjadikan SOP sebagai budaya baharu.


"Dalam normal baharu, kita tidak boleh seperti dulu lagi kerana pandemik COVID-19 ini tidak diketahui bila akan hilang. Secara realitinya ia akan terus wujud.


"Vaksin juga berdasarkan laporan pakar, hanya tersedia pada tahun hadapan. Selama mana vaksin ini tiada, cara hidup terpaksa berubah, sesuaikan diri dengan cara baharu. Budaya yang baik ini perlu terus diamalkan," katanya.


Fadillah berkata, SOP itu akan terus dipantau oleh satu jawatankuasa pemantau dan penguatkuasan yang ditubuhkan bagi memastikan sektor pembinaan mematuhi undang-undang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta SOP ditetapkan.


Katanya, jawatankuasa khas itu dianggotai agensi kementerian di bawah kluster infrastuktur termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri.


"Kementerian akan memantau semua syarikat diluluskan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP ini selain membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan mereka melaksanakan semua SOP ditetapkan," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata talian khas turut diwujudkan bagi orang ramai membuat aduan bagi membolehkan kementerian menjalankan siasatan terhadap sebarang kegagalan mematuhi undang-undang ditetapkan.


Bagaimanapun tegasnya, SOP turut menjadi cabaran kepada kontraktor kecil dalam kelas G1 dan G2 disebabkan kos saringan dan sanitasi agak tinggi.


"Saya memahami perkara ini akan menjadi cabaran kepada kontraktor G1 dan G2. Kos mematuhi buat saringan agak mahal terutama untuk pekerja asing.


"Namun, saya difahamkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ada memberikan bantuan dalam Program Saringan Prihatin (PSP) ke atas pekerja termasuk pekerja asing syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi.


"Ujian saringan COVID-19 disediakan secara percuma kepada pekerja bagi majikan yang berdaftar dengan PERKESO," katanya.



7 views
bottom of page