top of page

IWH, firma China bina projek berskala besar di Johor


Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai projek berskala besar yang akan dibangunkan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan Metallurgical Corporation of China Ltd (MCCL)

JOHOR BAHRU: Iskandar Waterfront Holdings (IWH) akan membangunkan projek hartanah berskala besar di tanah komersial seluas 60 hektar di Skudai, Johor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM8 bilion.


Projek yang akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun itu akan dilaksanakan secara usaha sama di antara anak syarikat IWH iaitu Danga Heights Development (DHD) dan anak syarikat Metallurgical Corporation of China Ltd (MCCL), MCC Singapore.


Projek berkenaan adalah antara yang terbesar pernah diumumkan sejak bermulanya pandemik COVID-19 awal tahun ini.


Usaha sama itu juga menandakan kemunculan pertama MCC Singapore dalam industri hartanah di Malaysia.


Ia juga adalah salah satu pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di Iskandar Malaysia yang mampu menyuntik keyakinan baharu serta mendorong pelaburan lebih lanjut dalam industri hartanah di Johor.


Di bawah fasa pertama fasa pertama, DHD dan MCC Singapore akan bersama-sama membangunkan pembangunan bercampur di tapak seluas 15 hektar.


GDV fasa pertama dianggarkan bernilai RM2.88 bilion dan pembinaan dijadualkan bermula pada awal 2021.


Ketua Pegawai Eksekutif MCC Singapore, Tan Zhiyong, berkata syarikat mengimpikan projek itu akan menjadi kawasan bandar baharu di Johor.


Projek itu, katanya akan menjadi bandar pintar yang mengandungi ciri-ciri pintar dan konsep rumah canggih.


Beliau juga berharap projek berkenaan dapat menjadi pemangkin transformasi bandar raya Johor menjadi sebuah bandar yang lebih maju dan berteknologi maju dalam dekad berikutnya.


"Kami yakin mengenai projek pembangunan mega ini memandangkan tapak tanah di Skudai adalah salah satu lokasi pembangunan yang paling dicari di Johor terutama kerana jaraknya yang dekat dengan sebahagian besar isi rumah yang berpendapatan tinggi dan pusat perniagaan," katanya.


Beliau memeterai perjanjian itu secara maya bagi pihak MCC Singapore manakala IWH diwakili Pengarahnya, Datuk Mohd Noorazam Osman.


Upacara pemeteraian penjualan tanah secara maya yang dilakukan secara serentak di Malaysia, Singapura dan China itu disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.


Hadir sama ialah Pengerusi MCC Singapore, Zhu Jianguo; Naib Pengerusi Eksekutif IWH, Tan Sri Lim Kang Hoo dan Pengarah Eksekutif IWH, Lim Chen Herng.



10 views

Comments


bottom of page