top of page

Isu Pangsapuri Harmoni 1: Kerajaan Selangor mahu pemaju bertanggungjawab


Isu perumahan di Pangsapuri Harmoni 1
Kerajaan Negeri Selangor akan memanggil pihak pemaju untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu yang berbangkit. - Gambar/ Astro AWANI

Isu perumahan di Pangsapuri Harmoni 1

KUALA LUMPUR : Kerajaan Negeri Selangor menggesa syarikat pemaju yang terbabit dengan isu perumahan di Pangsapuri Harmoni 1 untuk bertanggungjawab terhadap segala permasalahan yang dibangkitkan penduduk.


Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, pembeli sememangnya mempunyai hak untuk membuat aduan sekiranya wujud kecacatan terhadap projek perumahan mereka.


“Kita minta pihak pemaju untuk perbetulkan apa yang sepatutnya mereka buat atau sediakan kepada penduduk seperti apa yang dijanjikan sewaktu proses awal pembelian rumah yang telah ditandatangani pembeli.


“Misalnya keadaan parkir yang bertakung dan beberapa hasil kerja yang tidak berapa kemas... saya ambil perhatian berhubung perkara ini dan kita akan panggil pihak pemaju untuk tahu kenapa perkara ini tidak dipenuhi.


“Saya juga akan arahkan pihak berkenaan untuk teliti semula projek berkenaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.


Mengulas lanjut, Rodziah menyatakan pihak kerajaan negeri juga mempunyai hak untuk mengenakan tindakan undang-undang sekiranya pihak pemaju secara terus mengambil sikap ‘lepas tangan’.


“Dari segi undang-undang kita ada penguatkuasaan yang kita boleh kenakan kepada pemaju yang tidak bertanggungjawab.


“Proses undang-undang itu memang sudah ada cuma kita harap jangan berlaku soal ‘delay’ (melengahkan)... jadi bila mereka main dengan masa selepas dua tahun semua akan lepas tangan dan pembeli akan jadi mangsa.


“Saya selaku Exco berpendapat pemaju ini merupakan satu nama yang besar dan sepatutnya isu ini tidak berbangkit kerana ini bukan projek pertama mereka.


“Untuk jaga nama baik syarikat, mereka perlu pastikan kontraktor atau pemaju yang mereka lantik adalah kompeten yang mampu selesaikan isu berkenaan… saya telah berhubung dengan pihak mereka supaya ambil perhatian dengan apa yang telah dibangkitkan pembeli,” katanya lagi.


Dalam pada itu, Rodziah turut berkata, alasan seperti kenaikan harga barang pembinaan atau faktor pembinaan sewaktu fasa pandemik tidak lagi wajar digunakan sebaliknya pemaju perlu mengambil inisiatif berbincang bersama penduduk dan perbetulkan segala kesilapan.


Rodziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang itu turut mengingatkan pembeli supaya menyimpan segala rekod aduan yang telah dibuat untuk diteliti pihak berwajib.


“Kita akan bawa kepada tribunal sekiranya kes sukar diselesaikan untuk pihak tersebut membuat keputusan,” ujarnya.


Sementara itu, Astro AWANI turut mendapatkan reaksi daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu berkenaan.


“Pembeli ada hak untuk menuntut dalam tempoh dua tahun,” jawabnya ringkas ketika dihubungi pada Khamis.


Astro AWANI pada Rabu telah membawakan siri Laporan Khas bertajuk ‘Pemaju Kayangan, Rumah Cap Ayam’ yang membawa keluhan penduduk yang tidak berpuas hati mengenai soal kualiti projek perumahan tersebut.


Ini termasuk kos penyelenggaraan yang tidak setimpal dengan hasil diterima mereka selain mendakwa tiada sebarang fasiliti yang bersesuaian disediakan kepada pembeli.


Sumber: Astro Awani


67 views

Comments


bottom of page