top of page

Iskandar Waterfront City kembali catat untung bersih RM500,000 pada 1QFY24 dipacu hasil lebih tinggi segmen pembangunan hartanah


Iskandar Waterfront City Bhd

KUALA LUMPUR 30 Mei - Iskandar Waterfront City Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM496,000 pada suku pertama berkahir 31 Mac 2024 (1QFY24) berbanding kerugian bersih RM2.12 juta dipacu hasil lebih tinggi dalam segmen pembangunan hartanah.


Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM38.2 juta berbanding RM17.4 juta pada 1QFY23.


Katanya, hasil yang lebih tinggi bagi suku semasa didorong oleh segmen pembangunan hartanah dengan kemajuan kerja lebih tinggi dicapai untuk projek perumahan berkembar Danga Sutera Fasa 3 dan peningkatan jualan unit hartanah bagi projeknya yang telah siap.


"Pendapatan suku semasa bagi segmen pembinaan mencatatkan hasil negatif sebanyak RM56,000 disebabkan berakhirnya akaun bagi projek pembinaan," katanya.


Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, cadangan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang diumumkan baru-baru ini dan projek infrastruktur Transit Aliran Autonomi (ART) dan projek Sistem Transit Rapid Singapura (RTS) Johor Bahru dijangka menjadi pemacu penting dalam meningkatkan daya saing pasaran hartanah di Iskandar Malaysia.


Katanya, faktor tersebut juga dijangka meningkatkan keyakinan dan persepsi dalam kalangan pembeli hartanah mengenai prospek pertumbuhan jangka panjang dalam pasaran hartanah Johor.


"Bagaimanapun, pemaju hartanah menggunakan pendekatan tunggu dan lihat pada separuh pertama 2024, memerhatikan reaksi pasaran berikutan jangkaan kenaikan harga hartanah yang berpunca daripada kenaikan kos bahan binaan.


"Kami yang merupakan antara pemain terkemuka dalam pembangunan hartanah telah memantau dengan teliti strategi masa dan kos pelancaran projeknya.


"Kumpulan ini telah menunjukkan daya tahan melalui pengambilalihan strategik bank tanah yang berharga untuk memastikan rancangan masa hadapan yang konsisten bagi peluang pembangunan baharu," katanya.


Sumber: Dagang News


5 views

Comments


bottom of page