top of page

IPO Kitacon sasar raih modal RM51.7 juta


IPO Kitacon sasar raih modal RM51.7 juta Berita Harian www.bharian.com.my
Ah Kee (lima dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus Kitacon di Kuala Lumpur, hari ini - Foto ihsan Kitacon

KUALA LUMPUR: Kumpulan Kitacon Bhd (Kitacon), yang bakal disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd menjelang 17 Januari 2023, menyasarkan untuk mengumpul RM51.7 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).


Pengarah Urusan Kitacon, Tan Ah Kee, berkata syarikat penyedia perkhidmatan pembinaan itu merancang menggunakan 46.4 peratus daripada hasil berkenaan bagi tujuan pembelian peralatan pembinaan yang termasuk sistem acuan aluminium, perancah dan kabin.


Beliau berkata, 38.7 peratus pula diperuntukkan untuk pembelian tanah dan pembinaan kemudahan penyimpanan dan baik pulih, manakala 6.3 peratus akan digunakan untuk perbelanjaan modal kerja dengan baki hasil akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.


Katanya, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 500 juta saham dan harga terbitan 68 sen sesaham, Kitacon akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM340 juta.


Syarikat juga bercadang untuk mengisytiharkan dividen tahunan, bersamaan dengan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang sahamnya.


"Dengan penyenaraian itu yang dijangka tidak lama lagi, pencapaian ini akan meningkatkan kemampuan dan penguasaan perniagaan kami secara positif.


"Bergerak ke hadapan, matlamat Kitacon adalah untuk meluaskan jangkauan dan kepakaran dalam pembinaan perbandaran kerana kami menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak kontrak daripada pelanggan baharu sambil terus memupuk hubungan perniagaan dengan pelanggan sedia ada," katanya selepas pelancaran prospektus syarikat itu, di sini, hari ini.


Ah Kee berkata, Kiatcon juga akan terus meneroka dan mengguna pakai teknik pembinaan progresif seperti penggunaan sistem rangka kerja aluminium untuk meningkatkan produktiviti.


Beliau berkata, ia turut mampu memberikan tempoh penyiapan projek dalam masa yang ditetapkan selain memastikan kos sentiasa terkawal dan standard kualiti masih di tahap tertinggi.


Katanya, Kitacon bukanlah baru dalam industri kerana sudah mula bertapak sejak lebih 30 tahun lalu dengan pelbagai kerja pembinaan dan subkontrak berskala kecil.


"Sejak itu kami berjaya menyiapkan pelbagai projek pembinaan termasuk kediaman, komersial, perindustrian, bangunan yang dibina khas dan institusi.


"Hari ini, kami adalah pakar dalam pembinaan perbandaran dan berbangga dengan kualiti kerja pembinaan yang disokong oleh anugerah dan pengiktirafan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk QLASSIC dan SHASSIC," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page