top of page

Insiden lubang benam tiada kaitan dengan banjir kilat – Dr Zaliha



KEJADIAN lubang benam di Jalan Masjid India tempoh hari tidak ada hubungan secara langsung dengan banjir kilat yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, kata Dr Zaliha Mustafa.

Ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu, ia hanya kebetulan disebabkanketika itu ada beberapa insiden-insiden selain akibat daripada hujan yang lebat.


“Dalam hal ini, berhubung langkah-langkah pencegahan lubang benam di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah melaksanakan kajian struktur tanah yang dipantau oleh Task Force Khas di mana ia bermula sejak berlaku insiden di Jalan Masjid India tersebut dan masih lagi dalam proses pelaksanaan kajian dalam peringkat akhir.


“Untuk tindakan jangka pendek, DBKL dan agensi yang terlibat juga telah dan sedang melaksanakan audit integriti aset-aset utiliti yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat utiliti, yang dimulakan di kawasan Central Business District (CBD) di Kuala Lumpur,” katanya ketika menjawap soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada sesi jawapan menteri di parlimen hari ini.


Jelas Zaliha, pihaknya turut melaksanakan pemetaan dan ujian integriti bawah tanah di CBD serta kerja-kerja pembaikan dan penggantian untuk komponen aset yang berada dalam keadaan uzur akan terus dijalankan.


“Selain daripada itu, pelaksanaan kerja penyiasatan tanah bagi menentukan struktur lapisan tanah akan menggunakan kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) dan Mackintosh Probe (MP), satu alat yang khusus.


“Seterusnya, ujian geofizik yang sesuai bagi menentukan perkara- perkara yang berikut iaitu (i) Micro Gravity untuk mengesan sama ada adanya lohong di bawah tanah dan (ii) Ground Settlement Monitoring untuk mengesan pergerakan tanah juga akan turut dijalankan,” katanya.


Zaliha berkata bagi tindakan jangka panjang, DBKL akan melaksanakan juga penyiasatan tanah menggunakan Deep Boring (Bore Hole) disertakan dengan ujian makmal.


“DBKL akan mengemukakan laporan geoteknikal oleh Jurutera Awam yang bertauliah pada kadar yang segera untuk kawasan-kawasan pembangunan yang berisiko,”katanya.


Sumber: Wilayah Ku

Comments


bottom of page