Industri pembinaan rugi RM11.6 bilion setiap bulan sejak PKP


Kebanyakan pekerja pembinaan kembali bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) - Foto fail NSTP

BUTTERWORTH: Industri pembinaan di Malaysia mencatat kerugian sebanyak RM11.6 bilion pada setiap bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dikuat kuasa pada 18 Mac lalu.


Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee, berkata 29 peratus kerugian direkodkan itu adalah disebabkan pengangguran dalam kalangan pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.


"Apabila projek pembinaan dihentikan seketika, pembekal mesin tidak dapat menyewa atau menjual mesin, kilang tidak dapat membuat bahan binaan dan tiada kemasukan bahan import.


Akibatnya, industri pembinaan mengalami kerugian sehingga RM11.6 bilion sebulan," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Kebanyakan pekerja pembinaan kembali bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagaimanapun pihak industri hanya boleh beroperasi pada kapasiti sebanyak 80 peratus.


Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan untuk insentif dan pakej yang diperkenalkan untuk membantu pemulihan industri, selain itu beliau juga berharap moratorium pembayaran pinjaman untuk syarikat berkaitan pembinaan dapat dilanjutkan selama enam bulan lagi sehingga Mac, 2021.


"Moratorium akan tamat tidak lama lagi...pada 30, September ini, kebanyakan syarikat berpendapat mereka tidak mampu membayar balik. Sebanyak 30 peratus syarikat pembinaan di Malaysia masih menghadapi masalah kewangan," katanya.


Beliau berkata, melanjutkan moratorium untuk enam bulan lagi dapat membantu memberi perlindungan kepada industri pembinaan, antara sektor ekonomi penting negara.


Ditubuhkan pada tahun 1954 dan mempunyai sebanyak 17,000 ahli secara langsung dan tidak langsung, MBAM mensasarkan untuk menjadi penggerak utama dan pembela industri pembinaan di Malaysia.


Terdahulu, Chek Lee menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Seminar MBAM mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan edisi ketujuh dan Bengkel Permit Bekerja untuk Industri Pembinaan dekat sini, hari ini.


Acara itu dirasmikan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hassan Alias. -BERNAMA


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #kontraktor #JKR

56 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.