![](https://static.wixstatic.com/media/a0c008_d64a50c93dc64143af2928e51b2aabab~mv2.png/v1/fill/w_586,h_256,al_c,q_85,enc_auto/a0c008_d64a50c93dc64143af2928e51b2aabab~mv2.png)
KUALA LUMPUR: Industri pembinaan berdepan ketidaktentuan dan lebih ramai penggerak sektor berkenaan gulung tikar, jika kerajaan bersetuju dengan cadangan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, jika lebih banyak penutupan ekonomi dilakukan akan memberi tekanan kepada semua peniaga, semua sektor dan industri tanpa mengira jenis perniagaan.
"Pekerja-pekerja sudah tentu mahukan gaji mereka terus dibayar, pemilik premis mahukan sewa dibayar, pihak bank dan institusi kewangan yang lain juga mahukan pinjaman mereka dibayar.
"Jadi, bagaimana semua ini boleh dijamin kekal dan berjalan dengan baik jika ekonomi ditutup dan tidak dibenar beroperasi," katanya dalam satu kenyataan mengulas gesaan pelbagai pihak mahu supaya kerajaan melaksana PKP penuh ekoran peningkatan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Azman berkata, tahun ini adalah tempoh pemulihan bagi industri pembinaan apabila pelbagai projek pembangunan sedang dan akan berjalan serta diteruskan membabitkan kerja penyelenggaraan jalan, kemudahan awam serta lebuh raya yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Jika kerja ini dihentikan sementara, kesan bukan saja kepada pekerja, namun rakyat secara keseluruhannya dalam menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang lebih selesa dan selamat. Cadangan penutupan ekonomi hanya akan menyebabkan industri pembinaan semakin lumpuh dan lebih ramai akan gulung tikar," katanya.
Beliau juga berkata, PKBM sentiasa mengingatkan ahli untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menerapkan keutamaan keselamatan dan kesihatan (Safety and Health) di tapak binaan dan penempatan perumahan pekerja bagi mengekang penularan COVID-19.
"Kita menyokong keputusan kerajaan tidak menutup sektor ekonomi dan merayu semua pihak bersama memainkan peranan dan tanggungjawab kita untuk memutuskan rantaian pendemik di sepanjang PKP 3.0 ini," katanya.
Azman berkata, keadaan dilalui ketika ini dengan kebenaran operasi perniagaan dihadkan sudah cukup memeritkan semua golongan masyarakat termasuk sektor ekonomi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam sidang media pada Isnin memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pelaksanaan PKP penuh di Selangor jika usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes di negeri itu.
Namun hari ini, media melaporkan bahawa kerajaan Selangor menolak pelaksanaan PKP penuh jika diberi pilihan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Pusat, sebaliknya disyorkan PKP lebih ketat di kawasan paling berisiko.
Sumber: Berita Harian
Comments