Ikon terbaharu UAE


SEBUAH lagi menara pencakar langit bakal menghiasi ruang udara Dubai apabila ia diumumkan akan dibina tidak lama dengan fasa pertama dijangka siap pada 2023.


CNN melaporkan, menara yang dikenali sebagai Burj Jumeira itu akan dibina dengan ketinggian 550 meter, sekali gus menjadikannya sebagai menara yang lebih tinggi berbanding One World Trade Center di New York, Amerika Syarikat (546 meter).


Beberapa lakaran sudah dikeluarkan oleh firma pelaburan milik kerajaan, Dubai Holding dan ia akan dibina di Al Sufouh, Dubai yang berhampiran Burj Al Arab.


Burj Jumeira akan menjadi titik tumpuan di tengah-tengah projek pembinaan campuran dikenali sebagai Downtown Jumeira yang terdiri daripada kawasan perumahan dan bangunan komersil.


Firma itu berkata, pihaknya tidak akan menunggu sehingga tamat Ekspo Dunia 2020 untuk memulakan pembinaan sebaliknya ia akan dimulakan segera.


Pengerusinya, Abdulla Ahmed Al Habbai berkata, pembinaan Burj Jumeira dan Downtown Jumeira akan meningkatkan tarikan pelancongan dengan mewujudkan sebuah lagi ikon di Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Menerusi lakaran itu juga, ciri paling unik mungkin terdapat pada lantai di tingkat bawah menara berkenaan apabila ia direka berdasarkan rupa cap jari pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum.


Terdapat juga cadangan untuk membina ruang ampiteater di tingkat bawah itu untuk pertunjukan budaya dan kolam air pancut.


Menurut Dubai Holding, inspirasi terhadap binaan menara itu diambil daripada padang pasir dan aura oasis selain dilengkapi balkoni pada ketinggian 450 meter dengan ruang rehat serta restoran.


Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan indah seluruh bandar itu dari menara terbabit menerusi dek tinjau dengan pemandangan 360 darjah.


Ia dikatakan mungkin terdapat sedikit persamaan dengan Burj Khalifa yang menjadi bangunan paling tinggi di dunia apabila Burj Jumeira akan diterangi pertunjukan digital.


Selain itu, terdapat pelbagai lagi projek mega yang akan menghiasi bandar berkenaan selepas ini apabila Dubai Creek Tower yang dalam pembinaan akan muncul sebagai menara tertinggi dunia pada ketinggian 928 meter.


Di kawasan sekitarnya pula akan dibina beberapa menara kediaman baru bersama sebuah pusat beli-belah mega seluas 100 padang bola, Dubai Square Mall yang bernilai AS$ 2 bilion (RM8.1 bilion).


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #UAE

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.