top of page

IJM dapat kontrak RM422.18 juta di Pulau Pinang


IJM dapat kontrak RM422.18 juta di Pulau Pinang Berita Harian www.bharian.com.my
IJM dapat kontrak RM422.18 juta di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd (IJM) memperoleh dua kontrak untuk pembinaan kemudahan pembuatan dan menara komersial di Pulau Pinang dengan nilai keseluruhan RM422.18 juta.


Dalam satu kenyataan hari ini, IJM berkata IJM Construction menerima surat lantikan (LOA) daripada ASE Electronics (M) Sdn Bhd (ASEM) untuk pembinaan kemudahan pemasangan dan ujian cip baharunya dengan nilai kontrak RM341.39 juta.


Terletak di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas Pulau Pinang, pembinaan kemudahan pemasangan dan ujian semikonduktor baharu ASEM itu akan terdiri daripada dua bangunan dengan keluasan binaan 982,000 kaki persegi, terdiri daripada ruang lantai pengeluaran enam tingkat, ruang pejabat, tempat letak kereta bertingkat, jambatan penghubung serta pangkalan bangunan utiliti berpusat, kata kenyataan itu.


Projek itu dijadualkan siap pada 2025.


Kontrak kedua adalah pembinaan menara komersial Maritime Signature 45 tingkat di Karpal Singh Drive di Georgetown yang terdiri daripada suite pejabat, lot kedai, unit dupleks dan podium tempat letak kereta bernilai RM80.79 juta.


Projek ini dijadualkan bermula pada Disember 2022 dan akan disiapkan dalam tempoh 42 bulan.


Anak syarikat milik penuh IJM Construction Jurutama Sdn Bhd menerima lantikan itu daripada Bionic Development Sdn Bhd pada Oktober.


Kenyataan itu berkata, nilai perolehan kontrak IJM Construction kekal memberangsangkan pada RM4.8 bilion, terdiri daripada gabungan kerja-kerja di sektor swasta dan awam, serta pembinaan bangunan dan projek kejuruteraan awam yang memberikan keterlihatan pendapatan jangka pendek.


Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM, Liew Hau Seng, berkata pasaran utama di lokasi IJM beroperasi kekal kukuh walaupun ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.


"Dengan dasar berterusan kami untuk membangunkan hubungan strategik utama dengan kedua-dua pelanggan dan rantaian bekalan kami, kami yakin nilai perolehan kontrak yang diraih baru-baru ini akan meletakkan syarikat dalam kedudukan selamat untuk masa depan," katanya.


Saham IJM didagangkan satu sen lebih tinggi pada RM1.49, dengan 1.63 juta saham diniagakan.


Sumber: Berita Harian


17 views
bottom of page