
KUALA LUMPUR: Langkah pendigitalan TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dengan memperkenalkan aplikasi i-MANS, dijangka akan membantu meningkatkan pendapatan dalam segmen perniagaan pengurusan fasiliti (FM) pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop, Azman Ibrahim berkata, i-MANS adalah sistem pengurusan penyelenggaraan bersepadu berdasarkan penyelesaian pintar berasaskan awan yang berupaya mengurus operasi dan kerja penyelenggaraan secara menyeluruh.
Beliau berkata, aplikasi itu juga mampu meningkatkan kecekapan operasi kemudahan yang ditawarkan oleh segmen FM kumpulan termasuk melalui anak syarikat iaitu TH Universal Builders Sdn Bhd (THUB), THP Services Sdn Bhd (THPS) dan THP Utara Facilities Sdn Bhd (THPUF).
Ketika ini segmen FM kumpulan mencatat pendapatan yang kukuh sekitar RM148.87 juta atau sekitar 30 peratus sumbangan pendapatan kepada keseluruhan kumpulan TH Prop.
"Nilai kontrak semasa segmen FM kumpulan ketika ini sekitar RM1.1 bilion dan dengan pengenalan i-MANS, kami yakin ia dapat menarik lebih banyak kontrak baharu daripada pelanggan berpotensi.
"Kami juga sedang berunding dengan beberapa pelanggan berpotensi dari seluruh Malaysia.
"Segmen ini juga masih banyak ruang yang boleh diteroka, malah di Malaysia tidak banyak penyedia FM yang menggunakan sistem pendigitalan bersepadu dalam operasi pengurusan fasiliti," katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi i-MANS di sini, hari ini.
TH Prop adalah anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji, dengan tiga perniagaan teras dalam pembangunan hartanah, pengurusan fasiliti serta pembinaan dan pengurusan projek.
Ditubuhkan pada 2010, bahagian pengurusan fasiliti memainkan peranan penting dan kini menerajui inisiatif tenaga dan teknologi hijau kumpulan.
Azman berkata, aplikasi i-MANS membolehkan penyelarasan dan keupayaan pengesanan yang lebih baik antara pengendali, pelanggan dan vendor.
Beliau berkata, ketika ini, terdapat lebih daripada 1,000 pengguna yang bakal mendapat manfaat daripada i-MANS, yang terdiri lebih 100 latar belakang teknikal dan pengurusan yang pelbagai.
Aplikasi ini pertama kali dibangunkan dan diterima pakai pada 2018 katanya dan melalui banyak penambahbaikan bagi meningkatkan fungsi serta kemudahan penggunaan.
"Kami memperuntukkan pelaburan kira-kira RM5 juta setakat ini bagi menambahbaik dan membangunkan i-MANS dan kami mempunyai jenama yang kukuh dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti, dan pelancaran aplikasi ini sebagai langkah bermakna untuk meningkatkan kedudukan kami dalam industri.
"TH Prop sentiasa menambah nilai produk kami, sama ada dalam bentuk fizikal seperti hartanah atau kualiti dan tahap perkhidmatan yang kami tawarkan kepada pelanggan.
"Kini dengan i-MANS yang mesra pengguna, kami mempunyai alat yang mudah untuk menentukan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan dengan tepat, menyimpan rekod penghantaran dengan daftar masuk berasaskan lokasi serta meminimumkan perbelanjaan yang tidak diperlukan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments