top of page

HSS Engineers teroka peluang pusat data, 5G


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan projek dan kejuruteraan, HSS Engineers Bhd, sedang meneroka peluang dalam sektor digital dan teknologi bertumpukan pusat data serta 5G.


Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir Kuna Sittampalam, berkata usaha itu adalah sebagai sokongan kepada fokus kerajaan yang mahu mempercepatkan ekonomi digital susulan pandemik COVID-19.


Katanya, pihaknya telah memulakan pendekatan perkongsian kerjasama dengan pakar pusat data terkemuka global untuk mengejar peluang pengurusan kejuruteraan dan projek di Malaysia dan Asia Tenggara.


"Pada masa sama, kami juga memanfaatkan pengalaman dalam perundingan pengurusan projek (PMC) untuk secara langsung meraih peluang dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi melaksanakan pelancaran 5G di seluruh negara dengan jayanya.


"Susulan pandemik yang melanda, banyak perniagaan kini telah beralih menjalankan operasi mereka dalam talian. Memandangkan pengguna dan perniagaan menggunakan lebih banyak data di dunia yang semakin terhubung, pusat data kini menerima permintaan yang amat tinggi.


"Susulan kerajaan Singapura mengenakan moratorium dalam penubuhan pusat data baharu susulan kekurangan tenaga dan tanah, negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia dijangka mendapat keuntungan daripada limpahan permintaan ini," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tahunan keenam syarikat itu secara maya, hari ini.


Mengulas lanjut, Kuna berkata, sektor berkenaan di Malaysia dijangka meraih pertumbuhan pendapatan lebih AS$800 juta (RM3.29 bilion) menjelang 2030.


"Tambahan lagi, perangkaan industri menjangkakan yang pasaran pusat data di Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand bersedia untuk mengalami kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 14 peratus kepada AS$3.5 bilion (RM14.4 bilion) pada dekad berikutnya


"Kami juga sedang berbincang dengan pakar pusat data terkemuka global untuk mengejar peluang pengurusan kejuruteraan dan projek di Malaysia dan Asia Tenggara.


"Kami menjangkakan segmen baharu ini akan dapat diterjemahkan kepada pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2022," katanya.


Mengulas mengenai prestasi semasa kumpulan tahun ini, Kuna berkata pihaknya berjaya meraih kontrak baharu dalam tangan bernilai RM186 juta berbanding RM34 juta tahun lalu.


Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan kontrak dalam tangan kumpulan lebih RM600 juta ketika ini manakala nilai tender berjumlah RM437 juta dalam kerja infrastruktur rel, jalan dan air.


Sumber: Berita Harian

15 views
bottom of page