KUCHING: Hospital Petra Jaya yang mula dibina sejak sembilan tahun lalu dijangka beroperasi pada 2025.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata kontraktor memberi jaminan mampu menyiapkannya mengikut jadual yang ditetapkan pada November tahun depan.
Katanya, ketika ini projek hospital berkenaan sudah 51 peratus siap sejak pembinaannya bermula sembilan tahun lalu.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau rapi projek itu untuk memastikan ia tidak lagi tertangguh.
"Sekarang projek itu sudah 30 hari atau 1.63 peratus mendahului jadual (selepas diambil alih kontraktor penyelamat pada penghujung 2021).
"Kita yakin projek itu dapat disiapkan dalam tempoh yang dijadualkan iaitu pada 25 November 2024 dengan harapan tidak ada lagi sebarang perkara luar jangka seperti pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengejut dalam tempoh dua tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke projek bernilai 410 juta itu, hari ini.
Lukanisman berkata, dengan kemajuan projek yang mendahului jadual ketika ini, kontraktor juga memberi jaminan peralatan yang sedang ditempah akan tiba dalam masa terdekat dan pemasangan akan lebih rancak sekali gus mempercepatkan projek berkenaan.
"Ini bermakna, apabila fizikal bangunan sudah berjaya disiapkan dan semua kelengkapan dipasang, kita jangka operasi hospital ini akan dipercepatkan dalam tempoh sebulan selepas ia diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu dalam awal tahun 2025 rakyat akan dapat menikmati fasiliti kesihatan itu," katanya.
Projek Hospital Petra Jaya bermula pada 2013 dan sebelum ini ia dijadualkan siap pada November 2016, namun kontraktor asal gagal menyiapkannya.
Pada Oktober 2021, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan projek hospital yang mempunyai kapasiti 300 katil itu diambil alih oleh kontraktor penyelamat dan JKR diarah memantau rapi untuk memastikan ianya dapat disiapkan pada penghujung 2024.
Sumber: Berita Harian
Comments