top of page

Hess Malaysia, Petronas Carigali pinda perjanjian jualan gas dengan Petronas



HESS Malaysia dan rakan kongsinya, Petronas Carigali Sdn Bhd, berjaya mencapai persetujuan dalam rundingan dengan Petronas untuk meminda Perjanjian Penjualan Gas Huluan (UGSA) bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) PM302.


Hess Malaysia, syarikat tenaga utama global dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, perjanjian yang dipinda itu akan memasukkan penjualan dan pembelian gas yang dihasilkan dari lapangan Kangsar serta gas yang dihasilkan dari mana-mana lapangan PSC PM325 pada masa depan di bawah syarat UGSA sedia ada.


Naib Presiden Hess Asia, Zhiyong Zhao berkata, pindaan ke atas UGSA itu adalah tonggak penting untuk pembangunan berterusan projek Lembangan Melayu Utara (LMU).


"Pindaan UGSA ini memberikan capaian kepada bekalan gas baharu yang penting untuk kemakmuran ekonomi serta keselamatan tenaga negara. Ia mengukuhkan kedudukan Hess Malaysia sebagai pembekal gas asli utama negara dan memanfaatkan kerjasama jangka panjang antara Hess, Petronas dan rakyat Malaysia.


“Kami berharap akan dapat meneruskan kerjasama ini dalam usaha untuk terus mambangunkan projek LMU,” katanya.


UGSA mengawal penjualan dan penghantaran gas dari projek LMU kepada Petronas dan membantu memenuhi komitmen pembekalan dan penjualannya di Semenanjung Malaysia.


Hess Malaysia berkata, Lapangan gas asli Kangsar yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia ditemui pada tahun 2018 dan merupakan sebahagian daripada pembangunan LMU Fasa 4A yang dipersetujui baru-baru ini di mana gas pertama disasarkan pada suku ketiga 2022.


“Hess Malaysia dan Petronas Carigali menandatangani Perjanjian Induk tahun lalu untuk menyatukan lapangan tersebut bagi tujuan pembangunan dan Hess Malaysia kini dalam Fasa 2 pembangunan LMU. “Program mencari gali untuk Fasa 3 dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini di mana gas pertama dirancang pada suku pertama 2022,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

18 views

Comments


bottom of page