top of page

Harga hartanah dijangka lebih tinggi tahun ini


Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda)
NK Tong pada taklimat media Rehda di Wisma REHDA, Kelana Jaya. FOTO Amirudin Sahib

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda)

Petaling Jaya: Pasaran hartanah bakal berdepan peningkatan harga yang lebih tinggi bagi tahun ini berikutan trend kenaikan kos harga bahan binaan dilaporkan kekal untuk tempoh 12 bulan akan datang.


Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Malaysia, Datuk NK Tong berkata, pihaknya mendapati 68 peratus pemaju menjangkakan kos yang lebih tinggi berterusan lebih daripada 12 bulan.


Katanya, hasil dapatan itu adalah menerusi Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2022 dan Unjuran Pasaran 2023 Rehda membabitkan 136 responden (pemaju) yang mengambil bahagian.


"Selain itu, sebanyak 63 peratus pemaju memilih untuk meningkatkan harga jualan hartanah sebagai langkah teratas untuk mengatasi kenaikan kos bahan binaan.


"Ia kemudian diikuti oleh merendahkan margin keuntungan sebanyak 55 peratus dan menggunakan bahan yang lebih menjimatkan kos serta membina unit lebih kecil, masing-masing 53 peratus.


"Responden turut menyatakan lebih 20 peratus kenaikan harga purata bagi simen, keluli, aluminium dan batu bata menyebabkan kos pembinaan secara purata meningkat sebanyak 17 peratus," katanya pada taklimat media Rehda di sini, hari ini.


Beliau berkata, bagi prospek hartanah untuk 2023, lebih ramai pemaju (63 peratus) merancang untuk melancarkan projek hartanah mereka pada separuh pertama tahun ini yang terdiri daripada 7,650 unit bertanah, 8,266 unit strata dan 435 unit komersial.


Menurutnya, bagaimanapun, 85 peratus daripada responden ini menjangkakan prestasi jualan mereka adalah 50 peratus dan ke bawah.


"Kebanyakan negeri menyasarkan untuk melancarkan kebanyakan unit hartanah berharga antara RM250,001 – RM500,000, kecuali Johor (RM700,001 – RM1 juta) manakala Kelantan dan Terengganu melaporkan tiada rancangan projek akan dilancarkan bagi separuh pertama tahun ini.


"Responden kebanyakannya optimistik dengan prospek 2023, terutamanya untuk separuh kedua tahun ini.


"Kami berharap industri hartanah akan terus berkembang di bawah Kerajaan Perpaduan, yang memperlihatkan pendekatan proaktif termasuk membantu menyelesaikan isu mendesak seperti kekurangan tenaga buruh.


"Kami berharap kerajaan akan sentiasa menyedari kebimbangan lain dalam industri, khususnya berkaitan pemilikan rumah untuk rakyat," katanya.


Sumber: Harian Metro


4 views

Comments


bottom of page