top of page

Harap projek bina semula pangsapuri kos rendah Bandar Tun Razak siap segera


Harap projek bina semula pangsapuri kos rendah Bandar Tun Razak siap segera
Tapak Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah Sri Pulau Pinang, Sri Melaka, Sri Johor dan Taman Ikan Emas di Bandar Tun Razak. FOTO AZHAR RAMLI

Harap projek bina semula pangsapuri kos rendah Bandar Tun Razak siap segera

Kuala Lumpur: Penduduk perumahan awam di sekitar Bandar Tun Razak, Cheras mengharapkan projek penswastaan membina semula pangsapuri kos rendah dapat disiapkan segera bagi membolehkan mereka mendiami rumah baharu lebih selesa.


Malah, mereka turut mengharapkan kerajaan mempertimbangkan supaya penduduk dapat memiliki rumah itu pada harga tidak membebankan.


Penduduk, Basariah Atan, 66 berkata, dia lega apabila projek yang terbengkalai akibat Covid-19 itu sedang rancak dibangunkan sejak awal tahun ini.


Katanya, dia berharap projek itu segera disiapkan bagi membolehkan mereka sekeluarga mendiami rumah lebih selesa berbanding sekarang.


"Saya duduk sini dengan orang tua saya sejak tahun 1984 lagi dan sekarang saya menetap dengan suami dan anak menantu serta tiga cucu.


"Memang tidak selesa sebab dua keluarga duduk dalam satu rumah sempit yang hanya ada dua bilik.


"Selain itu, rumah ini sudah lama, jadi banyak kemudahan daif termasuk saluran air bocor dan parit tersumbat hingga menyebabkan bau busuk dan tikus berkeliaran kadang-kadang sampai masuk dalam rumah," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Katanya, berdasarkan perjanjian dalam permohonan dengan kerajaan terdahulu, harga seunit rumah yang dilengkapi tiga bilik itu ialah RM28,000.


"Saya dengar ahli parlimen kawasan ini akan memohon lagi supaya penduduk dapat duduk rumah ini pada harga tidak membebankan jadi saya sokong mana yang terbaik kerana rata-rata kami B40," katanya.


Seorang lagi penduduk yang ditemui, Khalid Mohd Desa, 75, berkata, selain masalah gangguan tikus dan lipas, ketiadaan lif juga menyukarkan pergerakan golongan berusia sepertinya.


"Dulu tapak projek itu padang bola tetapi kini baguslah dibuat pembangunan untuk manfaat rakyat terutama golongan B40 macam kami cuma kalau boleh biarlah harganya mampu kami bayar kerana kami tak mahu terbeban dengan hutang.


"Saya juga harap kalau dipanjangkan umur dapatlah merasa duduk rumah lebih selesa kerana saya sudah tidak larat naik dan turun tangga akibat sakit lutut.


"Saya dengar rumah baharu itu ada lif siap ada parkir sendiri untuk setiap unit, jadi tidak perlu berebut dengan penghuni lain," katanya yang menetap di tingkat dua Flat Sri Melaka sejak hampir 40 tahun lalu.


Sementara itu, tinjauan di tapak projek berkenaan yang terletak berhadapan dengan Flat Sri Melaka, mendapati kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan.


Berdasarkan papan tanda berhampiran, projek perumahan rakyat mampu milik itu membabitkan pembinaan dua blok berketinggian 45 tingkat serta menyediakan ruang tempat parkir sehingga tingkat ke sembilan.


Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika meninjau kemajuan projek itu berkata, penduduk bakal menduduki fasa pertama projek itu pada 2026 sebelum unit lama dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan fasa kedua yang dijangka siap pada 2030.


Projek menelan belanja kira-kira RM1.19 bilion itu bertujuan menaik taraf dan memberi keselesaan kepada 5,650 penduduk yang masih menetap di Perumahan Awam Sri Pulau Pinang, Sri Melaka, Sri Johor dan Taman Ikan Emas sejak hampir 50 tahun lalu.


Sumber: Harian Metro


Harap projek bina semula pangsapuri kos rendah Bandar Tun Razak siap segera


7 views

コメント


bottom of page