Hanya Perdana Menteri boleh umum mengenai ECRL


PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan hanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan membuat sebarang pengumuman berkaitan projek projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata mesyuarat juga menetapkan mana-mana menteri tidak dibenarkan membuat sebarang pengumuman mengenai projek itu kecuali Perdana Menteri.


"Itu sahaja yang saya boleh maklumkan buat masa ini. Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri semalam, projek ini masih dalam peringkat rundingan.


"Buat masa ini, rundingan berlangsung antara "G to G" (kerajaan dengan kerajaan)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Katanya, beliau juga menggesa kepada pihak media supaya bersabar sementara menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan apabila tiba masanya.


Ditanya berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai pengurangan kos projek sehingga RM40 bilion, Guan Eng bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu dan mengulas lanjut mengenainya.


"Saya di sini hanya berbincang mengenai kepentingan rakyat Malaysia dan bukannya mengenai laporan oleh akhbar berkenaan. Anda boleh tanya akhbar berkenaan," katanya.


Akhbar The Star melaporkan China Communication Construction Co Ltd (CCCC) dipercayai sedang mencari jalan penyelesaian terbaik dengan kerajaan Malaysia untuk mengelakkan pembatalan projek ECRL.


Sumber industri mendakwa firma milik kerajaan China itu bersetuju untuk mengurangkan kos lebih rendah kepada sekitar RM40 bilion.


Dalam pada itu, Guan Eng berkata, tiada tempoh masa tertentu ditetapkan bagi rundingan semula projek berkenaan diantara kedua-dua negara.


"Saya rasa biarlah perbincangan antara kedua-dua kerajaan berlangsung secara sulit dan perkara ini tidak harus dihebohkan," katanya.


Ditanya sama ada kerajaan akan umumkan jumlah sebenar kos projek itu selepas persetujuan dicapai kelak, Guan Eng berkata, beliau akan menjawab perkara itu apabila keputusan rasmi sudah dicapai.


"Buat masa ini, kita biarkan rundingan berjalan terlebih dahulu," katanya.

Semalam, Dr Mahathir memaklumkan projek mega kontroversi itu masih belum dibatalkan, sebaliknya masih dalam peringkat rundingan dengan pihak berkaitan.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #ECRL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.