top of page

Haily raih kontrak pembinaan RM78 juta


Haily Group Bhd
Haily Group Bhd

Haily Group Bhd

KULAI: Pakar pembinaan Haily Group Bhd memenangi kontrak RM78.28 juta untuk membina 262 unit hartanah kediaman di Pontian, Johor.


Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, dengan projek baharu ini, yang menjadi kontrak terbesar setakat ini menjadikan jumlah nilai kontrak Haily telah meningkat kepada RM660.77 juta.


Susulan itu, anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn Bhd, pada 8 Februari 2023 telah menerima Surat Anugerah Tender daripada Mandy Corporation Sdn Bhd, kontraktor utama yang dilantik oleh Splendid Pavilion Sdn Bhd, untuk pembinaan 118 unit rumah teres dua tingkat ( berukuran 22' x 70'), 144 unit rumah teres dua tingkat (berukuran 22' x 75') dan 2 unit pencawang Tenaga Nasional Berhad ("TNB").


Rumah teres itu akan dibina di Laman Citra, Gelang Patah dalam daerah Pontian, Johor.


Mandy Corporation dan Splendid Pavilion adalah anak syarikat milik penuh Gadang Holdings Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama.


Kontrak akan berkuat kuasa selama 20 bulan dari tarikh permulaan, yang akan disahkan kemudian.


Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, "Kami sangat berbesar hati dengan penganugerahan kontrak ini, iaitu projek kedua untuk Laman Citra Kumpulan Gadang.


"Kami yakin dapat melaksanakan projek dalam tempoh masa yang ditetapkan tanpa menjejaskan kualiti, disokong oleh pengalaman kami sebelum ini dalam menangani pelbagai projek pembinaan, termasuk untuk pemaju tersenarai seperti Mah Sing Group Bhd, IOI Properties Group Bhd dan Country View Bhd."


Katanya, memandangkan saiz projek itu besar, ia akan mempercepatkan lagi momentum pertumbuhan hasil kumpulan berbanding tahun lalu.


"Berdasarkan pada pemulihan stabil sektor hartanah domestic, kami menjangkakan untuk meningkatkan buku pesanan kami dengan lebih jauh tahun ini.


"Dengan kemenangan projek terkini, buku pesanan kami pada masa ini terdiri daripada 25 projek yang sedang berjalan dengan jumlah nilai kontrak RM660.77 juta, dan projek-projek itu dijangka siap secara berperingkat di antara tahun 2023 dan 2024," tambah beliau.


Pada Januari 2023, Haily telah memenangi kontrak RM37.85 juta daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd untuk membina 77 unit pejabat kedai tiga tingkat dalam projek Crest@Austin.


Sebulan sebelum itu, syarikat memperoleh kontrak RM52.30 juta untuk pembinaan 283 rumah teres dua tingkat daripada anak syarikat Mah Sing, Meridin East Sdn Bhd.


Kumpulan telah secara aktif memenangi beberapa kontrak utama sejak pemulihan beransur-ansur ekonomi Malaysia daripada COVID-19, meletakkannya di barisan hadapan dalam kalangan kontraktor terkemuka Johor.


Ini termasuklah kontrak bernilai RM17.50 juta yang diberikan oleh anak syarikat Mah Sing untuk membina 108 kediaman bertanah di Parcel 2H3 perbandaran Meridin East; kontrak RM41.28 juta daripada Country View Resources Sdn Bhd untuk pembinaan 121 unit vila bersambung 2 tingkat di Aurora Sentral, Pulai, Johor; kontrak RM40.67 juta untuk 99 unit kedai pejabat 3 tingkat di Tebrau, Johor daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd; kontrak RM14.57 juta daripada Nice Frontier Sdn Bhd untuk projek perumahan komuniti di Kulai, Johor; projek kediaman bernilai RM23.70 juta yang dianugerahkan oleh Factor Synergy Sdn Bhd; kontrak RM27.21 juta untuk pembinaan 176 kediaman bertanah daripada Gunung Impian Development Sdn Bhd; dan kontrak RM24.5 juta yang diberikan oleh Mah Sing untuk membina 155 rumah teres dua tingkat untuk perbandaran Meridin East.


Haily membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 21 Julai 2021. Kumpulan ini pada dasarnya merupakan kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di selatan Johor. Ia juga menawarkan jentera pembinaaan untuk tujuan penyewaan.


Sumber: Berita Harian


8 views

Comments


bottom of page