top of page

Haily peroleh kontrak terbesar bina rumah teres, RM52.3 juta


Haily peroleh kontrak terbesar bina rumah teres, RM52.3 juta
Haily peroleh kontrak terbesar bina rumah teres, RM52.3 juta

Berita terkini projek industri pembinaan malaysia 2023 EvolusiBina Evolusi Bina

KULAI: Syarikat pembinaan Haily Group Bhd (Haily) meraih kontrak RM52.30 juta daripada Meridin East Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) untuk membina 283 rumah teres dua tingkat.


Syarikat dalam kenyataannya berkata, projek itu adalah kontrak ketiga daripada Mah Sing, juga menjadi kontrak terbesar Kumpulan sejak penyenaraiannya pada Julai 2021.


Anak syarikat milik penuh Kumpulan, Haily Construction Sdn Bhd, pada 15 Disember 2022 telah menerima Surat Anugerah daripada Meridin East Sdn Bhd untuk pembinaan 283 unit rumah teres bersaiz 20' x 70' di Parcel 1C pembangunan Meridin East.


Meridin East ialah perbandaran bersepadu terbesar Mah Sing di Gerbang Timur Iskandar Malaysia.


Katanya, bagi keseluruhan projek, Haily bertanggungjawab, antara lain, untuk pembangunan, mekanikal dan elektrikal, infrastruktur dan kerja-kerja landskap.


Kontrak itu membabitkan dua fasa pembinaan, di mana di bawah Fasa 1, Haily akan membina sejumlah 128 unit rumah teres dua tingkat (termasuk dua rumah contoh) dan di bawah Fasa 2, Kumpulan akan membina sejumlah 155 unit rumah teres dua tingkat.


"Fasa 1 membawa nilai kontrak RM23.82 juta, manakala Fasa 2 membawa nilai kontrak RM28.48 juta.


"Kedua-dua fasa akan disiapkan dalam tempoh 15 bulan dari tarikh permulaan masing-masing. Fasa 1 dijangka bermula selewat-lewatnya pada 31 Mac 2023 manakala Fasa 2 dijangka bermula tidak lewat daripada 30 September 2023," kata kenyataan itu.


Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group, See Tin Hai berkata, kontrak baharu itu, selain daripada dua kontrak sebelum ini, menandakan keyakinan pemaju terkenal seperti Mah Sing terhadap rekod prestasi dan kualiti kerja Haily.


"Kumpulan melangkah ke tahun 2023 dengan landasan yang lebih kukuh. Kontrak terbaru ini, projek terbesar kami setakat ini, dijangka akan menyumbang dengan positif kepada pendapatan kami dalam tempoh dua tahun akan datang.


"Dengan pemerolehan projek terbaru, buku pesanan kami pada masa ini membabitkan 24 projek yang sedang berjalan dengan jumlah nilai kontrak RM593.31 juta, yang mana dijangka siap secara berperingkat antara 2023 dan 2024," katanya.


Sebelum ini, kontrak pertama yang diraih Haily daripada Mah Sing adalah pada Oktober 2021 bernilai RM24.5 juta dan membabitkan pembinaan 155 rumah teres dua tingkat di Parcel 2H1 perbandaran Meridin East.


Pada September 2022, Haily memenangi kontrak kedua bernilai RM17.5 juta untuk membina 108 kediaman bertanah di Parcel 2H3 perbandaran Meridin East.


Sejak Disember tahun lalu, kumpulan itu telah berjaya memperoleh beberapa kontrak utama, meletakkannya di barisan hadapan dalam kalangan kontraktor terkemuka Johor.


Ini termasuk kontrak RM41.28 juta daripada Country View Resources Sdn Bhd untuk pembinaan 121 unit vila bersambung 2 tingkat di bawah Fasa 1 Pembangunan Strata Resort Pelancong yang terletak di Aurora Sentral, Pulai, Johor dan kontrak RM40.67 juta daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd untuk membina 99 unit kedai dan pejabat tiga tingkat di Tebrau, Johor.


Sumber: Berita Harian


9 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page