top of page

Guoying Group cadang bangunkan projek hartanah di Perak


Hartawan Macau yang juga Pengerusi INIX, Wan Kuok Koi (kiri) bersamaHan Keat dalam satu majlis baru-baru ini. Kedua-duanya sedang memperincikan cadangan projek pembangunan di Perak.

Guoying Group Co Ltd (Guoying Group), syarikat berpangkalan di Macau sudah mengemukakan cadangan untuk membangunkan bidang tanah berkeluasan 320 hektar di selatan Perak.


Syarikat itu kini sedang menunggu kelulusan permohonannya berkaitan pembangunan berkenaan daripada Kerajaan Negeri Perak.


Pengerusinya, Wan Kuok Koi, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan berkenaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak bagi cadangan pelaksanaan projek berkenaan.


"Jika kerajaan negeri itu meluluskannya, Guoying Group akan memulakan suntikan dana berjumlah RM100 juta untuk pembangunan tanah berkenaan.


"Kami merancang untuk membangunkan resort air panas di Perak dan membina 80,000 pelbagai jenis kediaman dalam tempoh tiga tahun bagi memacu pembangunan di negeri Perak, " katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-15 yang diadakan hari ini.


Kuok Koi ialah hartawan Macau yang dilantik sebagai Pengerusi INIX Technologies Holdings Bhd pada bulan lalu dan kini bergiat aktif menyertai pasaran Malaysia selepas ekonomi negara dibuka semula susulan penularan COVID-19 yang mulai reda.


Kuok Koi juga menyatakan minat untuk bekerjasama dan menambahkan pelaburan di Malaysia dan terbabit dalam ekonomi pasca COVID-19.


Katanya, beliau telah mengadakan lawatan ke Perak pada Januari lalu dan menemui kerajaan negeri.


"Pada waktu itu, kami bertemu Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan Pengarah Eksekutif INIX, Lee Han Keat," katanya.


Buat masa ini, katanya, beliau dan Han Keat berbincang dengan kerajaan negeri Perak untuk memperincikan cadangan perancangan untuk memastikan ia memberikan manfaat kepada pembangunan dan pembinaan, sekali gus mempromosikan pembangunan ekonomi negeri itu.



12 views
bottom of page