Guna teknologi turapan getah bagi pembinaan jalan raya


KUANTAN - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyelenggara dan pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian di negara ini secara berperingkat.


Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, peruntukan itu diberikan bagi membolehkan pembinaan jalan menggunakan teknologi turapan Cuplump Modified Bitumen (CMB).


Jelasnya, berdasarkan kajian dan perancangan awal, kos turapan di antara RM40 dan RM45 meter persegi adalah dijangkakan untuk turapan jalan getah sepanjang 150 hingga 200 kilometer (km) dapat dilaksanakan, namun ia bergantung kepada kos semasa bahan mentah.


“Saya yakin kesan daripada turapan jalan getah ini dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terlibat dalam model rangkaian yang dicadangkan.


“Malah, projek ini juga dijangka akan meningkat penggunaan getah tempatan secara signifikasi pada masa akan datang, jika dilaksanakan secara berterusan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ketika berucap dalam Majlis Planter Tea Talk Siri ke-6, sebentar tadi.


Dalam pada itu, Teresa menjelaskan, kajian dan penyelidikan berhubung penggunaan getah sebagai bahan dalam turapan jalan telah dilakukan sejak 2014.


Katanya, kajian terbabit menunjukkan turapan jalan yang dicampurkan dengan getah adalah lebih tahan lama dan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.


“Penurapan jalan pertama menggunakan CMB telah dibina sepanjang satu kilometer di Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Getah Malaysia Kota Tinggi, Johor Baharu pada Disember 2014.


“Hasilnya kita dapati jalan tersebut masih dalam keadaan baik walaupun dibina empat tahun lalu.


“Ini jelas menunjukkan jalan CMB memberikan prestasi yang lebih baik berbanding jalan konvensional termasuklah ketahanan dari segi keretakan permukaan jalan, rintangan gelincir, penuaan dan kelesuan,” katanya.


Sehubungan itu, Teresa berkata, penggunaan CMB diperluaskan kepada jalan-jalan perhubungan luar bandar melalui agensi seperti Felda, Felcra, Risda dan Pihak Berkuasa Tempatan.


Tambahnya, sehingga kini sepanjang 45km jalan telah diturap menggunakan CMB di beberapa lokasi berbeza di seluruh negara.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #jalanraya #teknologi

479 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.