top of page

Guna teknologi IBS


PR1MA adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan diberi tanggungjawab bina 100,000 unit rumah mampu milik dan meningkatkan pemilikan rumah selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sany Construction Industry Development (M) Sdn Bhd (SCID), bagi membina kediaman mampu milik menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).


Kerjasama yang kukuh antara PR1MA dan SCID ini bertujuan untuk mempercepat penyediaan 12,000 rumah mampu milik menerusi teras strategik Bandar Mini PR1MA.


PR1MA sudah menentukan empat lokasi untuk projek Bandar Mini PR1MA, iaitu di Teluk Intan, Perak; Simpang Pulai, Perak; Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan Ayer Panas, Melaka.


Pengerusi PR1MA, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata, menerusi kerjasama dengan SCID PR1MA, Malaysia boleh mendapat manfaat daripada SCID sebagai pakar teknologi IBS.


"Ini juga membolehkan PR1MA meningkatkan lagi usaha membina kediaman mampu milik bagi memenuhi permintaan pembeli rumah di Malaysia.


"PR1MA adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan yang diberi tanggungjawab membina 100,000 unit rumah mampu milik dan meningkatkan pemilikan rumah selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12.


"Sehingga kini, PR1MA mempunyai 70 projek dengan jumlah rumah sebanyak 60,295 unit di mana 33,000 unit sudah disiapkan, 16,445 unit sedang dalam pembinaan dan 10,550 unit dalam peringkat perancangan," katanya.


Menerusi kerjasama ini, SCID akan membina kilang pengajar IBS untuk mengeluarkan komponen bangunan pratuang (precast) untuk digunakan dalam projek PR1MA.


SCID juga akan membangunkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melatih pekerja mahir tempatan dalam teknologi IBS melalui kerjasama dengan institusi pendidikan tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.


Kerjasama ini dijangka dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk pekerja berkemahiran tinggi dalam teknologi IBS.


MoU ini juga mengukuhkan peranan SCID sebagai penasihat teknologi untuk Pusat Kecemerlangan PR1MA berkaitan teknologi IBS untuk sistem pembinaan termaju dan sebagai rakan teknologi kepada Bandar Mini PR1MA.


Sumber: Harian Metro


22 views
bottom of page