top of page

Graduan perlu peka perubahan teknologi industri


Graduan perlu peka perubahan teknologi industri Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: 3D printing house

Dunia teknologi hari ini memerlukan keupayaan graduan yang bukan saja cemerlang dalam bidang dipelajari sebaliknya mampu diterjemahkan dalam dunia praktikal di dalam industri.


Teknologi di dalam industri juga berkembang pesat seiring dengan dunia semasa sekali gus memerlukan graduan sentiasa bersedia dan tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan sijil semata-mata.


Bagi mendepani dunia teknologi di dalam industri yang sangat mencabar, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif untuk menjalinkan kolaborasi bersama dengan pemain industri bagi menyediakan graduan kompeten, inovatif dan memenuhi pasaran pekerjaan.


Ia juga sejajar dengan hasrat Kementeri Pengajian Tinggi (KPT) yang mahukan graduan mempunyai pendedahan secukupnya dan tidak hanya berasaskan kepada teori.


Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan perjanjian dengan pemain industri sekali gus kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memperkayakan graduan universiti berkenaan dengan kemahiran nilai tambah, pengetahuan dan pengalaman dalam dunia sukan permotoran.


"Kerjasama ini dimeterai antara UniMAP dan Haro Sport & Entertainment untuk memberi pendedahan kepada graduan.


"Penyelidik dan pelajar UniMAP berpeluang mempelajari pengurusan perniagaan sukan permotoran, kemahiran dan pengetahuan berkaitan industri kejuruteraan sukan permotoran.


"Kerjasama penyelidikan berkisar terutamanya kepada Pembangunan Berteraskan "Carbon Neutrality", mencari cara alternatif untuk mencapai "Carbon Neutrality" tanpa mengetepikan teknologi enjin jenis "internal combustion" sedia ada," katanya.


Pada majlis berkenaan, Zaliman mewakili UniMAP manakala Haro Sport & Entertainment diwakili Pengurus Perkongsian syarikat itu, Fahrizal Hassan.


Beliau berkata, pasukan penyelidik akan menumpukan penyelidikkan kepada pembangunan yang memberi penekanan kepada pengunaan bahan api altenatif yang boleh diperbaharui dan mampan.


Mengulas lanjut mengenai kerjasama berkenaan, Zaliman berkata, syarikat penyedia latihan itu berdaftar dengan Kementerian Kewangan, Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Teknologi Malaysia, Kelayakan OTHM United Kingdom yang membolehkannya menjalankan program terakreditasi dan program pembangunan profesional berterusan terutamanya program personel penyelia pembinaan dan pengurusan.


Sumber: Harian Metro


7 views
bottom of page