top of page

George Kent didapati langgar perjanjian pemegang saham LRT 3 JVCo dengan MRCB


Gambar fail. Stesen LRT Glenmarie. - Foto: NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

KUALA LUMPUR: George Kent (Malaysia) Bhd didapati melanggar perjanjian pemegang saham (SHA) berkenaan syarikat usaha sama (JVCo) dengan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) di bawah Peraturan Timbang Tara AIAC.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, timbang tara itu tercetus daripada perbezaan pendapat antara George Kent dan MRCB mengenai tafsiran peruntukan tertentu dalam SHA berkaitan dengan pilihan untuk mendapatkan pembiayaan bagi syarikat usaha sama kedua kumpulan iaitu MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCB-GK).


"George Kent dalam menjalankan haknya di bawah SHA menyerahkan perkara berkenaan kepada timbang tara untuk mendapatkan pernyataan tertentu mengenai penafsiran peruntukan SHA berkenaan.


"Arbitrator mendapati antara lain bahawa Notis Parti A bertarikh 19 Julai 2019 yang dikeluarkan oleh MRCB adalah tidak sah tetapi kebuntuan dalam isu pembiayaan pegangan saham di bawah Klausa 6.1 (b) SHA dianggap telah berlaku dan bahawa Notis Parti A bertarikh 24 Oktober 2019 yang dikeluarkan oleh MRCB adalah sah," katanya.


George Kent katanya dinyatakan telah bertindak melanggar SHA dan diarahkan untuk secara khusus melaksanakan tanggungjawabnya di bawah SHA.


Lantaran itu, George Kent katanya telah diarahkan untuk mengesahkan persetujuan mereka secara tertulis kepada pelantikan firma audit oleh pihak pengurusan MRCB George bagi tujuan melaksanakan penilaian bebas dalam saham syarikat kerjasama itu berdasarkan aliran tunai terdiskaun.


Setelah penilaian selesai, MRCB mesti membuat tawaran tunai tanpa syarat untuk membeli semua saham George Kent dalam MRCB George dan menawarkan tanpa syarat untuk menjual semua sahamnya dalam MRCB George kepada George Kent dengan harga yang sama kecuali jika perselisihan diselesaikan atau sekiranya MRCB menarik balik notisnya mengenai pelanggaran perjanjian pegangan saham.


"Proses penyelesaian ini dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh empat bulan," katanya.


Pertikaian itu berpunca daripada pilihan mendapatkan pembiayaan untuk MRCB George, yang ditubuhkan untuk melaksanakan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT3).


George Kent dan MRCB menandatangani SHA pada 8 Jun 2015 untuk membentuk syarikat usaha sama 50:50 bagi tender, melaksanakan dan menyelesaikan pembinaan talian LRT3 dari Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang.


Modal saham terbitan dan berbayar syarikat usaha sama itu berjumlah RM10 juta, dengan George Kent Rail Sdn Bhd (dimiliki sepenuhnya oleh George Kent) dan MRCB Builders Sdn Bhd (dimiliki sepenuhnya oleh MRCB) masing-masing memegang kepentingan ekuiti 50 peratus.


George Kent menyampaikan notis timbang tara kepada MRCB pada 2019 berikutan pertikaian itu.


Sumber: Berita Harian

626 views
bottom of page