top of page

Geng Mamat curi di tapak ECRL kena tahan


Geng Mamat curi di tapak ECRL kena tahan Harian Metro www.hmetro.com.my
DSP Norzamri Abd Rahman (dua, kanan) menunjukkan selaras senapang angin yang dirampas daripada sindiket Geng Mamat bersama pelbagai peralatan pembinaan yang dicuri di enam tapak pembinaan projek Laluan Rel PantaiTimur (ECRL) sekitar Maran sejak April tahun lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran hari ini.

Maran: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita ahli 'Geng Mamat' yang disyaki aktif mencuri pelbagai peralatan pembinaan dianggarkan bernilai RM30,000 di enam tapak pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini sejak April tahun lepas.


Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kesemua suspek ditahan di tiga lokasi sekitar daerah ini dalam satu operasi khas yang dijalankan pada Jumaat lepas.


Suspek yang ditahan merupakan wanita dan lelaki menganggur berusia 21 dan 25 tahun selain suspek yang bekerja sebagai buruh ladang berusia 32 tahun dan pemandu lori berumur 19 tahun.


Beliau berkata ketika tangkapan, polis turut merampas pelbagai peralatan yang disyaki dicuri antaranya mesin pemotong, penukul, kipas angin, pam angin, wayar pelbagai saiz dan motor pam.


Katanya kumpulan berkenaan disyaki melakukan kegiataan itu pada waktu malam di lokasi yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.


"Selain sebuah kereta jenis Proton Iswara, polis juga merampas selaras senapang angin dan sepasang gari yang disyaki digunakan kumpulan itu untuk aktiviti penyamaran atau peras ugut pekerja asing," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran di sini, hari ini.


Menurut beliau, satu peket plastik mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 2.13 gram turut dirampas dalam operasi berkenaan dan hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.


Mengulas lanjut, Norzamri berkata pihaknya percaya terdapat dua lagi ahli kumpulanberkenaan masih bebas dan usaha memburu mereka giat dijalankan.


Katanya, kesemua suspek akan disambung reman setelah empat hari ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sumber: Harian Metro

7 views

Comentários


bottom of page