top of page

Garis panduan pematuhan standard filem penghadang haba dikuat kuasa 1 Julai 2020


Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menguatkuasakan Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan bermula 1 Julai tahun depan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak industri yang gagal mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.


Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 bagi orang persendirian atau RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana telah melabelkan penyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna.


Beliau memberitahu, pihaknya menerima sebanyak 112 aduan membabitkan kualiti dan harga filem penghadang haba kenderaan bagi tempoh 2013 hingga sekarang.


Sehubungan itu katanya, sebelum dikuatkuasakan, pihak industri diberi tempoh selama setahun bermula esok bagi mematuhi garis panduan itu yang dilancarkan hari ini.


“Bermula 20 Jun 2019, pihak industri adalah diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan ini secara sukarela.


“Ini bermaksud, KPDNHEP mengesyorkan supaya setiap produk filem penghadang haba kenderaan yang akan dijual perlu melalui ujian dan lulus berdasarkan standard MS2669,” katanya dalam majlis pelancaran garis panduan itu di sini hari ini.


Saifuddin Nasution berkata, garis panduan itu disediakan bertujuan memberi panduan kepada pihak industri berhubung pematuhan terhadap standard filem penghadang haba kenderaan, iaitu Malaysian Standard MS 2669 : 2017 secara sukarela dalam memasarkan dan menjual produk filem penghadang haba kenderaan.


Beliau berkata, standard tersebut merangkumi beberapa siri ujian bagi memastikan filem penghadang haba kenderaan yang dijual kepada pengguna adalah produk yang berkualiti.


“Garis panduan ini juga mengesyorkan pihak industri, terutama sekali pengimport dan pengedar agar mendapatkan pensijilan dan pengujian terhadap filem penghadang haba kenderaan sebelum dibekalkan ke pasaran Malaysia.


“Keputusan penyediaan garis panduan ini dibuat setelah mengambil kira impak positif daripada cadangan ini di mana pengguna dapat membuat pilihan untuk membeli filem penghadang haba kenderaan yang berkualiti dan mempunyai pelabelan logo SIRIM,” katanya.



12 views
bottom of page