top of page

Gangguan bekalan air di Labuan mula esok


Bandar Labuan
BBAL memaklumkan kerja-kerja penggantian paip berukuran 800mm itu adalah satu daripada projek pembangunan dan telah ditender pada akhir bulan lepas.

Labuan: Ribuan pengguna di lebih 20 kawasan di pulau bebas cukai ini akan mengalami gangguan bekalan air bermula esok susulan pembaikan paip utama yang bocor berhampiran Taman Kian Yap dan kerja penggantian kabel kuasa utama di Stesen Pam IPS Bukit Kallam.


Bahagian Bekalan Air Labuan (BBAL) dalam kenyataan memaklumkan kebocoran berskala besar paip utama itu telah menjejaskan kawasan Kiamsam meliputi Kampung Bebuloh, Kampung Belukut, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Bedaun, Taman Mahkota Impian di Jalan Bukit Timbalai dan kawasan sekitar.



"Turut terjejas, Kampung Layangan, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan Kasim dan Pulau Akar, Kampung Bukit Kuda dan sebahagian kawasan Kampung Bukit Kalam.


"Kawasan lain ialah Kampung Durian Tunjong, kawasan Jalan Penghulu Tuah, Kampung Lajau, Kampung Ganggarak, Kampung Merinding, Kampung Pohon Batu, Pancur Hitam, Kampung Batu Manikar, Tanjung Kubong, Kampung Lubok Temiang dan kawasan sekitar Pohon Batu," menurut kenyataan itu.


BBAL memaklumkan kerja-kerja penggantian paip berukuran 800mm itu adalah satu daripada projek pembangunan dan telah ditender pada akhir bulan lepas.



Menurut kenyataan itu, kebocoran berkenaan adalah punca bekalan air yang disalurkan ke Loji Rawatan Air di Jalan Kolam selalu berada pada paras rendah dan tidak mencukupi untuk disalurkan ke seluruh tangki imbangan selama ini.


"Kerja-kerja pembaikan paip dan penggantian kabel kuasa utama di Stesen Pam Bukit Kallam akan bermula esok (11 April) hingga selesai. Ini susulan kerosakan "kabel perisai" pada 30 Mac lepas," menurut BBAL dan menambah penyambungan semula bekalan air bergantung kepada tahap tangki pengimbang di kawasan masing-masing.


Sumber: Harian Metro


2 views

Comments


bottom of page