Gangguan bekalan air di Klang 99 peratus pulih


Gambar hiasan

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang terjejas sekitar Klang kini mencapai tahap pemulihan sebanyak 99 peratus sehingga jam 12 tengah hari tadi.


Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, buat masa ini pihaknya masih giat melaksanakan proses untuk meningkatkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi menstabilkan bekalan air di sana.


Beliau berkata, pemantauan dan tindakan di lapangan perlu terus dilaksanakan dan pihaknya juga turut menyediakan bantuan lori tangki untuk menyalurkan bantuan kepada pelanggan terjejas.

"Pihak kami ingin memaklumkan pemulihan telah mencapai tahap 99 peratus sehingga 12 tengah hari ini dan pemantauan masih giat dilakukan di sistem agihan bagi menstabilkan aliran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sejak Ahad lalu, beberapa kawasan di Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping pecah.


Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim dilaporkan berkata, kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.


Ekoran status pemulihan ini, Abdul Raof berkata hanya satu pusat khidmat setempat masih diaktifkan iaitu di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas bagi menyalurkan bantuan ke tiga kawasan terjejas yang masih belum mencapai pemulihan sepenuhnya iaitu Bandar Putra 2, Parkland dan Taman Sentosa.


"Kerjasama semua pelanggan untuk tidak membuat simpanan bekalan melebihi penggunaan amatlah dihargai bagi membantu kelancaran proses pemulihan ini," katanya.

Tambah Abdul Raof, Air Selangor turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menghiraukan sebarang hebahan yang mendakwa bakal berlakunya gangguan lain selepas ini.


Terdahulu, 98 peratus gangguan bekalan air yang berlaku di 65 kawasan di Klang, Selangor hampir pulih sepenuhnya pada tahap 98 peratus sehingga jam 6 pagi tadi.


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #WCE #air #Klang

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.