top of page

Gamuda, Crest Builder teroka peluang perniagaan bersama


Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd dan Crest Builder Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd dan unit Crest Builder Holdings Bhd, Crest Builder Sdn Bhd baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka peluang perniagaan berpotensi.


MoU itu bertujuan mengenal pasti kemungkinan kerjasama dan usaha strategik bersama dalam usaha sama, tender dan projek prospektif selain penilaian ke atas skop kerja yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.


Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Datuk Ubull Din Om, berkata industri 4.0 mengubah cara pelaksanaan projek dalam pembangunan hartanah dengan menjadikan tempat pembuatan kini sebagai sokongan utama.


"Kerjasama kami dengan pemaju bertujuan memasarkan penyelesaian bangunan tahap seterusnya yang akan menjadi transformasi bagi industri pembinaan bangunan.


"Ia akan mempercepatkan penerimagunaan produk pasang siap di seluruh industri dan mempertingkat rantaian bekalan dengan kualiti, keselamatan dan produktiviti lebih baik," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Crest Builder, Teh Hock Hua berkata sebagai syarikat yang berhasrat menjadi peserta global, pertukaran pengetahuan profesional dan amalan terbaik yang akan dikongsi dalam usaha sama itu akan terus memperkukuh matlamat pihaknya dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan mencapai aspirasi.


Sistem Binaan Industri (IBS) digital kini menerajui industri pembinaan tempatan ke arah kecemerlangan yang lebih besar melalui fleksibiliti reka bentuk, pelaksanaan lebih cepat dan sisa pembinaan minimum. -BERNAMA



12 views
bottom of page