top of page

Gaji tinggi dan peluang kerja baik jadi tumpuan pelajar


Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Peluang kerja yang baik serta permulaan gaji besar bidang berkaitan seperti kejuruteraan dan teknikal antara kriteria utama pilihan pelajar pada ketika ini, berbanding mengikut minat.


Pensyarah Program Senibina Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azari Mat Yasir, berkata trend menunjukkan ramai pelajar memilih jurusan yang memberi pulangan lebih lumayan.


"Di UTM jurusan yang popular adalah Kejuruteraan Petroleum, Elektrik dan Aeronatik. Peluang pekerjaan baik dan gaji permulaan lebih besar. Sebagai contoh, secara purata sektor gas dan petroleum menawarkan gaji permulaan paling lumayan.



"Jurusan kejuruteraan lain juga menawarkan gaji tinggi selepas lama bekerja. Jika seseorang bagus, mereka dibayar gaji lumayan tetapi ketika ini industri mempunyai pilihan kerana graduan yang ramai, menyebabkan mereka boleh membayar gaji rendah. Jika graduan tidak mahu, mereka juga tidak kisah kerana ramai lagi yang mahu merebut peluang," katanya.


Azari berkata, situasi itu menyebabkan jurusan lain yang tidak popular dengan gaji permulaan rendah kurang menjadi pilihan.


Beliau berkata, sejak sedekad lalu, kebanyakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) cuba bekerjasama dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan masing-masing.


Katanya, kerjasama dengan industri ini adalah untuk meningkatkan kebolehan dan kepakaran graduan masing-masing, dan pada masa sama majikan mudah mencari calon sesuai.


"Graduan IPTA dilatih memenuhi kehendak tertentu, terutama dalam bidang terpencil.


Sebagai timbal balas, IPTA boleh membantu industri memahami nilai seseorang graduan, meningkatkan lagi peluang untuk memperoleh gaji yang lebih tinggi.


"Saya bagi contoh dalam bidang seni bina. Satu ketika dulu, Building Information Modelling atau Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) hanya perbualan teoretikal dalam kalangan teknologi dan akademia industri pembinaan di Malaysia.


"UTM memulakan langkah awal sekitar 2010 untuk memasukkan bidang terbabit dalam kurikulum sebagai kursus teras.


"Walaupun ketika itu kurang permintaan dalam industri di Malaysia, kami tetap memperkenalkan kursus berkenaan kerana di United Kingdom dan Singapura, BIM sudah membantu industri menjimatkan jutaan ringgit.


Azari berkata, kini, hampir semua IPT menawarkan kursus berkenaan sama ada secara teras atau elektif kerana industri amat memerlukannya.


Ditanya adakah universiti dan kolej teknikal perlu berada di hadapan untuk memastikan graduan mereka kekal relevan dalam industri yang berubah-ubah, Azari berkata, ia wajar dilakukan.


Beliau berkata, ia satu risiko yang perlu diambil oleh IPTA berikutan ada trend tertentu yang pada awalnya nampak menarik atau diperlukan, tetapi tidak diminati atau mahu digunakan dalam industri pekerjaan pada masa depan.


Mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin semalam, bahawa ketika ini syarikat yang mendapat pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MOSTI atau agensinya wajib menyediakan ruang pekerjaan sebagai Pegawai Penyelidik atau Pembantu Penyelidik bagi menyiapkan projek R&D yang dibiayai, Azari berkata, beliau melihat jawatan sedemikian sebagai batu loncatan.


Katanya, apabila sesuatu projek R&D selesai, individu berkenaan perlu mencari projek R&D seterusnya atau mencari kerja lain.



31 views
bottom of page