
KUALA LUMPUR: Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) mewujudkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji semula gaji permulaan jurutera berkhidmat dengan sektor awam di Malaysia yang dilaporkan agak rendah, berbanding negara luar.
Gaji permulaan yang dicadangkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah antara RM2,800 hingga RM3,500.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya tidak menolak gaji rendah menjadi faktor utama kurangnya minat golongan muda untuk menceburi profesion berkenaan, sedangkan negara memerlukan lebih ramai jurutera untuk kelangsungan pembangunan.
"Merujuk kepada maklumat daripada BEM, nisbah jurutera kepada populasi rakyat Malaysia hanya 1:170 berbanding dengan negara maju yang lain.
"Saya turut maklum berkaitan isu gaji permulaan profesion teknikal di dalam negara yang dikatakan agak rendah jika dibandingkan dengan negara luar.
"Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa BEM mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk mengkaji gaji permulaan jurutera di Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2022, secara maya di sini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.
HPTN yang mula membuka tirai sejak semalam hingga esok menampilkan, tujuh aktiviti antaranya pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); legasi infrastruktur 150 tahun Agensi Teknikal Negara dan 36 pempamer teknikal daripada pelbagai disiplin kejuruteraan.
Sebelum ini, BH pernah melaporkan bahawa hampir 35 peratus jurutera di negara ini dikenal pasti menerima gaji permulaan di bawah RM2,000, selain kadar kenaikan gaji yang diberi majikan tidak selari dengan kadar inflasi semasa.
Perkara itu didedahkan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang menjalankan kajian membabitkan isu gaji permulaan jurutera rendah yang dibangkitkan beberapa pihak, sejak tahun lalu.
Pada masa sama, Alexander berkata, usaha yang lebih agresif dan proaktif perlu direncanakan dengan melantik lebih ramai golongan profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.
Beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan untuk membabitkan kalangan profesional teknikal di dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif.
Katanya, pihaknya turut menyeru supaya penggerak industri bergerak bersama dengan kementerian dalam usaha untuk menggalakkan bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada semua lapisan masyarakat.
"Ini kerana pemerkasaan TVET perlu diperkukuhkan bagi menyediakan ekosistem yang positif untuk melahirkan pakar yang berkemahiran tinggi.
"Negara kita mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi dan bertaraf dunia yang majoritinya dipelopori oleh warga profesion teknikal.
"Peluang pekerjaan berkaitan jurusan STEM dan TVET adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda," katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Uzir, berkata cadangan gaji antara RM2,800 hingga RM3,500 itu turut mengambil kira pandangan disuarakan badan profesional itu termasuk Institut Jurutera Malaysia (IEM).
Beliau berkata, sehingga kini kajian berhubung gaji permulaan itu sudah siap sepenuhnya dan akan dibawa ke JPA dalam masa terdekat ini.
Katanya, amat penting untuk negara memiliki lebih ramai jurutera yang berkhidmat dengan sektor awam susulan kerajaan kekurangan kira-kira 100,000 lagi golongan profesion itu.
"Dengan pertambahan bilangan projek pembangunan dan jalan kita tidak mempunyai jurutera yang mencukupi.
"Kita memerlukan kira-kira 300,000 jurutera namun kini kita hanya ada 200,000 sahaja," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments