top of page

Flet retak, laporan lengkap dimuktamad Rabu ini


Gambar hiasan

GOMBAK: Laporan lengkap mengenai status Blok F, Flet Taman Keramat Permai yang retak akan dimuktamadkan Rabu ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, rumusan hasil siasatan terbabit akan diteliti, sebelum keputusan sama ada bangunan berkenaan selamat diduduki atau sebaliknya, akan dibuat pihak berkaitan.


Seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga yang mendiami flet terbabit dijangka boleh kembali menduduki kediaman masing-masing selewatnya-lewatnya sebelum 1 Ramadan.

“Saya mahu keselamatan penduduk diberikan keutamaan walaupun Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mendapati tiada pergerakan tanah atau bangunan sepanjang tiga hari mereka melakukan pemantauan dan kajian.


“Kita jangkakan sebelum Ramadan penduduk boleh kembali ke kediaman masing-masing, iaitu sama ada Sabtu atau Ahad ini (4 dan 5 Mei) jika pasukan teknikal mengesahkan bangunan berkenaan selamat diduduki.


“Jika siasatan mendapati sebaliknya (tidak selamat diduduki) susulan pandangan IKRAM dan perunding, proses pembaikan dengan kosnya ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan dilaksanakan.


“Sudah tentu, sepanjang proses pembaikan, kita tidak mahu penduduk berada dalam unit terbabit untuk sementara waktu,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib.


Semua penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai, pada Jumaat lalu, diarahkan berpindah susulan berlaku keretakan di dinding kediaman berkenaan selepas hujan lebat.


Bagaimanapun, hanya 38 penduduk daripada sembilan keluarga yang menghuni flat itu berada di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, manakala baki 184 penghuni lagi dipercayai tinggal di rumah saudara-mara di kawasan berhampiran.

PKNS sebelum ini dilaporkan melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk memasang pengesan dan alat kajian bagi memastikan sama ada mendapan serta pergerakan tanah benar-benar aktif atau sebaliknya.


Menerusi peruntukan Ahli Parlimen, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, sebanyak RM500 akan disalurkan kepada keluarga yang terjejas dalam insiden berkenaan, selain beberapa kemudahan bakal ditambah bagi keselesaan penduduk di pusat pemindahan dekat Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2.


“Kita akan lengkapkan mereka dengan kemudahan pendingin hawa kerana saya mendapat sedikit rungutan berhubung keselesaan mereka, khususnya yang mempunyai anak kecil.


“Selain itu, sajian makanan berkhasiat dan secukupnya akan diberikan, selain kita menempatkan petugas jabatan kesihatan, khususnya bagi mengendalikan pemeriksaan berkaitan terhadap warga emas,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan ZNA, Dr Zulhkiple A Bakar, yang mengetuai proses siasatan dan pemantauan menjelaskan tiada perubahan ketara terhadap struktur bangunan blok F, flet Taman Keramat Permai.


Beliau sebaliknya berkata, hasil kajian dan siasatan awal mendapati perubahan struktur yang berlaku terhadap blok terbabit hanya berkadar kurang 1 milimeter, manakala wujud rekahan di tingkat atas bangunan.

“Simulasi komputer dengan memantau pergerakan tanah, aliran air, sistem pembetungan dan lohong di permukaan bawah tanah akan dijalankan, justeru ia dijangka siap satu atau dua hari lagi.


“Kita sedang teliti sama ada rekahan di tingkat atas bangunan berpunca daripada tangki air yang ditempatkan di bahagian bumbung, selain mengenal pasti retakan di bahagian tangga di sebelah kiri blok F,” katanya.



54 views
bottom of page