top of page

Flat Taman Keramat Permai pernah runtuh sebelum ini


Blok F Flat Taman Keramat Permai, Ampang yang mengalami keretakan serius pada Jumaat lalu. UTUSAN ONLINE/ AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 28 April - Penduduk flat Taman Keramat Permai, Ampang dekat sini bimbang kejadian salah satu blok pangsapuri berkenaan yang runtuh kira-kira 25 tahun lalu berulang ekoran keretakan baharu yang dikesan Jumaat lalu.


Penduduk, Amran Zainuddin, 55, berkata, dalam kejadian pada 1994, kediaman blok C yang terletak berhampiran lereng bukit terpaksa diruntuhkan selepas beberapa unit rumah roboh akibat hakisan.


Katanya, gelongsoran tanah yang berlaku memusnahkan menyebabkan lantai rumah di tingkat satu pecah sehingga menampakkan ‘isi tanah’.

“Struktur lantai yang pecah menyebabkan air masuk ke dalam rumah dan selepas pemeriksaan dibuat ia diisytiharkan tidak selamat untuk didiami dan dirobohkan.


“Oleh itu kami penduduk bimbang perkara yang sama akan berulang dan terjadi pada blok F,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari.


Amran berkata ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Dewan Amal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, pagi ini.


Beliau berkata, keretakan blok F yang mula serius sejak tiga tahun lalu telah dilaporkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun masih tiada sebarang tindakan susulan dilakukan.


“MPAJ ada datang buat pemeriksaan selepas kami buat aduan tapi tiada sebarang tindakan diambil sehinggalah keretakan yang lebih serius berlaku pada Jumaat lalu,” katanya.


Amran berkata, penduduk mengharapkan pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah yang menimpa kira-kira 200 penduduk di 40 unit kediaman pangsapuri berkenaan.



145 views
bottom of page