top of page

Flat Taman Keramat Permai dilihat condong satu arah


AMIRUDIN (tengah) mendengar taklimat keretakan bangunan hingga menyebabkan penduduk diarah pindah oleh pihak berkuasa kerana tidak selamat ketika melakukan lawatan ke Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai, di sini, yang terpaksa dikosongkan sejak semalam berikutan beberapa keretakan teruk, dikesan condong ke satu arah.


Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang berkata, ia dilihat dengan mata kasar dalam pemeriksaannya bersama beberapa agensi, di sini, hari ini.


“Pemerhatian secara mata kasar mendapati bangunan ini condong ke satu arah iaitu di bahagian bucu. Kemungkinan berlaku pergerakan tanah.

“Keretakan di tingkat atas bangunan itu agak besar dan memerlukan pemerhatian segera tetapi saya belum berani untuk membuat kesimpulan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.


Amirudin berkata, satu kajian yang mendalam perlu dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari untuk mengetahui punca sebenar keretakan.


“Beberapa agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan cerapan dan kajian forensik.


“Dalam kajian tiga hari ini, kita akan mengetahui mengenai siasatan yang dilakukan termasuk kesan pergerakan tanah dan kesesuaian untuk lokasi ini didiami atau proses baik pulih dilaksanakan,” katanya.


Amirudin berkata, laporan itu juga akan menentukan sama ada blok lain perlu disemak untuk tujuan keselamatan.


Katanya, bantuan segera akan diberikan kepada 37 keluarga yang tinggal di blok itu yang kini terpaksa dipindahkan ke sekolah berdekatan.


Semalam, seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai diarahkan berpindah susulan keretakan di dinding bangunan berkenaan selepas hujan lebat.


Sementara itu, pergerakan tanah yang menyebabkan keretakan pada bangunan Blok F dilaporkan masih aktif.


Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata semua penduduk terbabit diarah mengosongkan kediaman mereka bagi membolehkan kerja pemeriksaan dan kajian tahap keselamatan tanah serta struktur bangunan itu dijalankan.


“Hasil pemeriksaan pasukan siasatan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), MPAJ dan JKR mendapati pergerakan tanah masih aktif serta memerlukan pemeriksaan lanjut.


“Selain itu, pasukan Unit Forensik JKR perlu membuat siasatan lebih mendalam untuk menentukan tahap keselamatan bangunan berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Taman Keramat, hari ini.


Beliau berkata, PKNS turut melantik IKRAM untuk memasang pengesan dan alat kajian bagi memastikan sama ada mendapan serta pergerakan tanah benar-benar aktif atau sebaliknya.


“Semua siasatan dan kajian akan dilakukan selama tiga hari sebelum sebarang keputusan mengenai tahap keselamatan flat ini diketahui.


“Melalui keputusan diperoleh nanti, kita akan mengetahui sama ada bangunan ini boleh dibaiki dan masih selamat atau tidak untuk diduduki,” katanya.


Setakat jam 2.30 petang ini, seramai 38 penduduk daripada sembilan keluarga yang menghuni flat itu berada di pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, manakala baki 184 penghuni lagi dipercayai tinggal di rumah saudara-mara di kawasan berhampiran.


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan keperluan asas kepada semua mangsa di pusat pemindahan berkenaan, termasuk makanan, tilam dan perubatan.



30 views
bottom of page