top of page

Firma Singapura beli kepentingan projek Harbour City, Melaka


Cadangan projek pembangunan Harbour City di Melaka - Foto ihsan Hatten Land

SINGAPURA: Firma berpangkalan di Singapura, Tayrona Capital Pte Ltd membeli 99 peratus kepentingan dalam projek pembangunan Harbour City di Melaka daripada pemaju hartanah, Hatten Land Ltd, sebagai sebahagian daripada urus niaga bernilai AS$323 juta (RM1.35 bilion).


Hatten Land dalam satu kenyataan berkata projek di bawah anak syarikatnya, Gold Mart Sdn Bhd itu merangkumi elemen-elemen runcit, hospitaliti dan hiburan dalam pembangunan bercampur bersepadu.


Katanya, di bawah perjanjian itu, Tayrona Capital akan melabur sebanyak AS$23 juta (RM96.5 juta) dalam Gold Mart menerusi terbitan saham-saham baharu yang membolehkannya memperolehi pegangan sebanyak 99 peratus.



"Selain itu, ia juga akan menyuntik sebanyak AS$240 juta (RM1.006 bilion) bagi mempertingkat serta menyiapkan pembangunan bertemakan marin yang meliputi gedung beli-belah Harbour City Mall, taman tema air terbesar Melaka berkeluasan 500,000 kaki persegi serta sebuah hotel mewah," katanya.


Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Hatten Land, Datuk Colin Tan, berkata sebagai pihak yang menghasilkan konsep dan pemaju projek Harbour City, ia akan melaksanakan pelbagai harta intelek seperti reka bentuk dan konsep projek, laman sesawang dan bahan-bahan pemasaran kepada Tayrona Capital yang membabitkan pertimbangan sebanyak AS$60 juta (RM251.3 juta).


"Transaksi ini membuktikan kemampuan kami dalam menghasilkan konsep hartanah yang inovatif, membangunkan kualiti aset-aset hartanah serta membuka nilai-nilai berkaitan.


"Kami turut gembira kerana Tayrona Capital mengiktiraf potensi projek ini dan berkongsi rasa optimis bagi prospek jangka panjang di Melaka," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tayrona Capital James Ordonez, berkata pihaknya berharap dapat menjalin kerjasama erat dengan Hatten Land bagi mewujudkan peluang pelancongan serta ekonomi baharu di Melaka menerusi projek berkenaan.


Tayrona Capital adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat Tayrona yang beribu pejabat di Singapura.


Habour City akan dijadikan sebahagian daripada rangkaian Sagana Hotels & Resorts yang meliputi 32 hotel/pusat perangingan di serata dunia serta kelompok destinasi ultra mewah bersepadu yang pada masa ini beroperasi dan dibangunkan di 22 negara.



41 views
bottom of page