top of page

Fasa 1, 2 Merdeka 118 dijangka siap pada suku kedua 2022


Gambar fail. Kerja pembinaan Menara Merdeka 118 atau PNB 118 di Kuala Lumpur. - Foto: NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Pembangunan Fasa 1 dan 2 presint berprestij Merdeka 118 Permodalan Nasional Bhd (PNB) dijangka siap menjelang suku kedua 2022, lebih lewat daripada sasaran awal iaitu pada akhir 2021.


Ini adalah disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.


Pembangunan menara ikonik ini dibiayai oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), anak syarikat milik penuh PNB.


Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata Fasa 3 pula yang merangkumi tiga menara kediaman dijadualkan siap pada 2024/2025.


"Kami kini berada di Fasa 1 pembangunan yang melibatkan menara Merdeka 118 dan infrastruktur sekitarnya. Struktur teras konkrit kami telah mencapai puncaknya di Tingkat 118 dan elemen utama (facade) menara kami telahpun mencecah tingkat 82.


"Dijangkakan kepingan tebal (slab) bahagian lantai tingkat 118 akan siap pada akhir 2020.


"Insya-Allah, kami merancang mengadakan majlis 'topping out' untuk memperingati menara Merdeka 118 mencapai puncaknya yang setinggi 118 tingkat, bangunan tertinggi di Malaysia dan menara kedua tertinggi di dunia," katanya.


Setakat Oktober, 2020, beliau berkata menara itu telahpun siap 60 peratus.


Merdeka 118 dibina berdekatan Stadium Merdeka, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur.


Infrastruktur sekitarnya merangkumi sambungan langsung bermula dari Jalan Istana terus ke ruang bawah tanah pembangunan; akses pejalan kaki yang dihubungkan ke pusat bandar Bukit Bintang; penambahbaikan jalan seluas 106,000 meter persegi; terowong baharu yang menghubungkan Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) 3; dan jejantas baharu sepanjang 800 meter.


Ahmad Zulqarnain juga berkata bahawa projek ini pada masa ini berada pada peringkat awal Fasa 2 yang merangkumi pusat beli-belah dan taman linear Merdeka Boulevard @ 118.


Seperti yang ditetap di bawah syarat PKP, beliau menjelaskan tapak pembinaan Merdeka 118 telah ditutup sepanjang tiga fasa pertama PKP dan secara beransur-ansur dibuka semula mulai 13 Mei 2020 dan seterusnya.


Dalam hal ini, beliau berkata pemaju perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).


"Melalui tinjauan awal, ini telah menetapkan masa lanjutan dua hingga tiga bulan sehingga tempoh penyelesaian projek," katanya.


Sementara itu, beliau berkata PNBMV bercadang untuk menangguhkan pelancaran menara kediaman yang pada asalnya dijadualkan pada akhir tahun ini, kepada suku keempat 2021.


Menyentuh mengenai ruang pejabat, beliau berkata pihaknya kini dalam rundingan lanjutan dengan bakal penyewa dan pada masa sama terus aktif meninjau lebih banyak pelabur hartanah.


"Memandangkan keadaan pandemik dan ekonomi global sekarang, kami faham tempoh mencabar berada di hadapan kami yang terlibat dalam pasaran hartanah.


"Namun, kami lihat ini sebagai peluang untuk bergerak ke peringkat seterusnya agar dapat memenuhi perubahan permintaan ruang pejabat seperti yang dituntut oleh normal baharu," katanya.


Merdeka 118 yang akan memperlihatkan penyatuan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari di Kuala Lumpur, tidak hanya menampilkan menara yang menghadap dua mercu tanda negara Malaysia - Stadium Negara dan Stadium Merdeka, lokasi kemerdekaan Malaysia diisytiharkan pada tahun 1957, tetapi juga komponen lain.


Secara keseluruhan, ia akan turut merangkumi Park Hyatt Kuala Lumpur; dek pemerhatian; pusat beli-belah; Merdeka Boulevard @ 118 - Taman Linear seluas empat ekar dan ruang awam terbuka; Look @ 118 - kafe dengan pemandangan 'Instagrammable'; Merdeka Residences; pusat jagaan kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun; dan sebuah masjid di presint yang dapat menampung sehingga 3,000 orang.


Sebaik sahaja siap, Merdeka 118 juga akan menjadi bangunan pertama di Malaysia yang berjaya memenuhi tiga akreditasi bangunan platinum hijau di peringkat tempatan dan antarabangsa, iaitu Indeks Bangunan Hijau (GBI), Hartanah Hijau (GreenRE) dan Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED). – Bernama



150 views
bottom of page