top of page

Exxon Mobil mahu jual AS$25 bilion aset minyak



LONDON: Exxon Mobil merancang untuk menjual sehingga AS$25 bilion (RM104.2 bilion) membabitkan loji minyak dan gas di Eropah, Asia dan Afrika, jualan aset terbesar untuk beberapa dekad ini.


Ia sebagai usaha mendapatkan tunai bagi memberi tumpuan kepada projek mega, menurut tiga sumber perbankan.


Penjualan itu akan mempercepatkan rancangan pelupusan utama minyak AS.


Ia mewakili percubaan oleh Ketua Eksekutifnya, Darren Woods untuk mengejar pesaing yang melakukan tinjauan portfolio yang luas dan menjual aset berikutan kemelut pasaran pada 2014.

Saham Exxon mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan berbanding pesaing utamanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Pelupusan itu akan membantu syarikat meningkatkan perbelanjaan terhadap perkembangan terbaharu dan menenangkan pelabur yang tidak gembira dengan output minyak dan tunai yang lemah.


Penjualan itu akan menyaksikan Exxon secara berkesan menghentikan perniagaan minyak dan gas di Eropah, demikian mengikut tiga sumber rapat.


Mereka akan mempunyai tunai tambahan untuk melabur dalam projek terbaharu di Guyana, Mozambique, Papua New Guinea, Brazil dan Amerika Syarikat.


Bagaimanapun, jurucakap Exxon enggan memberi komen mengenai aset tertentu yang ditawarkan untuk dijual tetapi menyatakan ia telah memberitahu Wall Street jualan asetnya dapat mencapai AS$25 bilion menjelang 2025.


Saham syarikat tenaga itu menokok susulan laporan Reuters dan naik sekitar 1.5 peratus pada 1816 GMT.


Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, syarikat yang berpangkalan di Texas itu mengeluarkan senarai aset yang mahu dilupuskan, merangkumi sekurang-kurangnya 11 negara, kata sumber itu.


Senarai itu, yang sebelum ini tidak pernah dilaporkan, dijangka dengan mudah melepasi sasaran pelupusan semasa dengan menjual kira-kira AS$15 bilion aset pada 2021.


Exxon kini sedang dalam perbincangan terhadap beberapa tawaran termasuk pelupusan AS$4.5 billion dari Norway dan juga menawarkan aset di Australia, Nigeria, Malaysia.


Pelan itu akan melihat Exxon juga menjual operasi di Laut Utara British, Jerman dan Romania, menurut sumber itu.


Di Eropah, gergasi minyak itu hanya akan meninggalkan pengeluaran di Belanda, yang mana ia berkongsi kepentingan dengan Royal Dutch Shell. - Reuters



9 views
bottom of page