top of page

Eversendai dapat projek di Abu Dhabi, Qatar


KUALA LUMPUR: Eversendai Corporation Bhd meraih tiga projek baharu dengan nilai gabungan sebanyak RM196 juta di Abu Dhabi dan Qatar.


Kontrak baharu itu meningkatkan jumlah kontrak yang diraih syarikat itu kepada RM602 juta bagi tahun 2019 sehingga kini dan menambah nilai perolehan kontraknya kepada RM2.52 bilion, katanya dalam kenyataan semalam.


Kontrak di Abu Dhabi, diberikan oleh Arabtec Construction, adalah projek muzium.


Eversendai turut meraih kerja-kerja keluli struktur untuk dua projek bangunan tinggi di Doha, Qatar, daripada Redco Construction - Almana dengan Al Baker Investments dan QIMC.


“Nilai tender perniagaan teras kami sebanyak RM10 bilion dan kami yakin untuk meraih lebih banyak kerja-kerja secara progresif. Eversendai sentiasa mencari peluang baharu dalam industri yang saling berkaitan dan mengekalkan prestasinya yang baik.


“Falsafah perniagaan kami ialah tidak bergantung kepada pasaran tunggal atau pelanggan,” kata Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri AK Nathan.


Beliau berkata syarikat terus optimis di rantau ia beroperasi dengan banyak peluang baharu dalam perancangan.


“Dengan pelanggan dan pasaran perniagaan kami yang kukuh, kami yakin untuk mengekalkan pertumbuhan yang mampan.


“Tanpa mengambil kira bagaimana keadaan pasaran global secara keseluruhan, sektor pembinaan akan terus berkembang mengikut pembangunan ekonomi negara masing-masing.


Saya percaya kami berada dalam kedudukan yang baik untuk mengatasi sebarang halangan dan dapat mencapai matlamat perniagaan kami,” katanya. -BERNAMA



50 views
bottom of page