top of page

Enam stesen telemetri pantau kualiti sungai di Johor


Enam stesen telemetri pantau kualiti sungai di Johor
Gambar hiasan

Enam stesen telemetri pantau kualiti sungai di Johor

JOHOR BAHRU – Sebanyak enam stesen telemetri siap dibina dan beroperasi bagi memantau kualiti air sungai di Johor secara berkala dengan menggunakan teknologi geospatial secara dalam talian.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, stesen tersebut dibina di Sungai Skudai, Sungai Semangar, Sungai Johor, Sungai Sayong, Sungai Benut dan Sungai Muar.


Menurutnya, stesen telemetri itu berfungsi menyediakan maklumat secara dalam talian kepada Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) sebagai persediaan pencemaran sungai.


“Telemetri ini akan memberi maklumat secara dalam talian kepada pihak BAKAJ supaya kita boleh bersedia lebih awal sekiranya berlaku pencemaran khususnya Sungai Skudai ini yang dikategorikan kelas ketiga.


“Projek ini penting untuk kita pastikan kejadian pencemaran air sungai tidak lagi berlaku. Jadi kita dapat kawal dengan lebih awal,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke Stesen Telemetri Sungai Skudai, di sini, hari ini.


Mohamad Fazli berkata, kesemua stesen telemetri melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM5.6 juta itu juga berkemampuan mengenal pasti paras semasa sungai.


“Pada masa akan datang, pertambahan projek ini akan dilaksanakan kerana kualiti air sangat penting khususnya di kawasan tengah Johor di kawasan Kulai dan Sedenak.


“Jadinya pemantau secara berterusan terhadap kualiti air sangat penting sebab kita tidak mahu kejadian yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang,” katanya.



Enam stesen telemetri pantau kualiti sungai di Johor


Comments


bottom of page